ADUN Ketari dijangkiti denggi, ajak masyarakat berhati-hati

Ketika kita sedang menumpukan perhatian terhadap melawan wabak COVID-19, perhatian juga perlu diberi kepada isu kesihatan penyakit lain terutamanya penyakit denggi.

Penyakit denggi juga meningkat seiring dengan COVID-19.

Jumlah kes denggi terkumpul dari 29 Disember 2019 hingga 25 Jun 2020 berdasarkan sumber Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah sebanyak 53,725 kes. Pahang mencatatkan 1,450 kes.

Dari segi kematian, dari Januari hingga 20 Jun 2020, seramai 90 orang maut akibat denggi.

Seperti COVID-19 yang belum ada rawatan tertentu bagi penyembuhannya, begitu jugalah dengan penyakit denggi yang masih lagi belum ada penawarnya hingga ke hari ini.

Jangan ambil mudah akan ancaman denggi dan kepentingan pencegahannya memandangkan keadaan cuaca akhir-akhir ini sering hujan pada sebelah petang.

Penyakit bawaan nyamuk seperti denggi masih lagi boleh menyerang sesiapa sahaja, pada bila-bila masa sekiranya kita leka akan kepentingan penjagaan kebersihan persekitaran.

Ps: Saya juga mangsa kepada virus denggi. Masih mendapatkan rawatan di hospital pada ketika ini. Tidak pasti dimana saya kena tapi apa yang penting kita perlu sentiasa berwaspada.

Sumber :