Adun Amanah akan ikut giliran suntik vaksin seperti rakyat biasa

Adun Amanah akan ikut giliran suntik vaksin seperti rakyat biasa

Ketika semua wakil rakyat sedang sibuk mengambil vaksin Covid-19 masing-masing bersama pasukan petugas barisan hadapan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Mohd Sofi Abdul Wahab membuat keputusan untuk tidak berbuat demikian.

Jelasnya kerana, dia ingin memberi ruang kepada rakyat yang memerlukan terlebih dahulu.

“Sepatutnya esok saya akan disuntik vaksin Covid-19 bersama-sama dengan pimpinan kerajaan negeri Melaka dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

“Namun saya mengambil keputusan untuk tidak mengambil vaksin ini esok bagi memberi laluan kepada rakyat untuk menerimanya dahulu,” katanya menerusi akaun Facebook hari ini.

Semasa dihubungi Malaysiakini, Mohd Sofi menambah, dia berhasrat untuk mengambil suntikan tersebut bersama-sama rakyat menerusi fasa ketiga Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 kelak.

“Saya nak ambil bersama-sama dengan rakyat menerusi fasa ketiga nanti.

“Saya hendak buktikan kita (wakil rakyat) bersama-sama dengan rakyat. Jangan ada perbezaan antara orang awam dengan pemimpin,” katanya.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bertemakan ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Feb lalu dengan fasa pertama dari Februari hingga April 2021 bagi petugas barisan hadapan dan wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

Fasa kedua pula dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang.

Manakala, fasa ketiga dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas – warganegara dan bukan warganegara – dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Sebelum ini, terdapat dakwaan dari media sosial bahawa lebih 100 konco-konco ahli politik Melaka telah dimasukkan dalam senarai untuk menerima vaksin pada 2 Mac ini.

Bagaimanapun, memetik laporan portal Bernama hari ini, Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Rahmad Mariman, menyangkal dakwaan tersebut dan menyatakan senarai individu yang layak ditentukan oleh jabatan kesihatan Melaka tanpa campur tangan mana-mana pihak.

“Pada 2 Mac 2021 akan berlangsung Majlis Pelancaran Program Imunisasi Vaksin Covid-19 Peringkat Negeri Melaka yang akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali dengan beliau akan menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech.

“Program suntikan ini akan diikuti oleh semua ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) dan Adun serta ahli Parlimen serta petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, Mohd Sofi turut menyatakan, tindakan untuk tidak mengambil vaksin Covid-19 pada fasa pertama itu adalah pendirian peribadinya.

Justeru, katanya, terpulang kepada Adun lain untuk bertindak sama sepertinya.

“Terpulang pada (Adun) masing-masing. Ini pendirian peribadi saya,” katanya lagi.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/564827