Ada orang guna nama saya kaut keuntungan, dedah Abang Viva

Ada orang guna nama saya kaut keuntungan, dedah Abang Viva. Individu yang tular sebagai “Abang Viva” di media sosial baru-baru ini menjelaskan kepada orang ramai, beliau tidak pernah melantik sesiapa menjadi orang tengah bagi menghubunginya.

Azwan Omar menjelaskan sedemikian menerusi catatan di akaun Facebook miliknya susulan dimaklumkan bahawa ada pihak yang menggunakan namanya bagi mengaut keuntungan.

“Sejujurnya, saya tak pernah melantik sesiapa untuk menjadi PA (pembantu peribadi) atau orang tengah jika ingin menghubungi saya, dan juga saya tidak pernah mengenakan apa-apa bayaran jika ingin menggunakan khidmat saya, apatah lagi jika ingin bercakap dengan saya semata-mata.

“Saya memohon maaf jika saya terlambat atau tidak menjawab panggilan kerana mungkin saya sedang bekerja,” katanya.

Beliau turut menyertakan nombor telefonnya di catatan tersebut.

Semalam dilaporkan seorang usahawan meminta bantuan warganet menghubungi Azwan untuk menghadiahkan sebuah kereta baharu.

Pengarah Shalicious Empire Wan Siti Aishah Wan Hasan berkata, beliau sendiri telah cuba menghubungi Azwan beberapa kali, namun tidak berjaya.

FMT sebelum ini melaporkan kisah Azwan berbekal RM50 dan bot bergegas dari Melaka ke Shah Alam dengan kereta Vivanya bagi membantu mangsa banjir.

Keputusan spontan Azwan Sabtu lepas menyelamatkan nyawa puluhan mangsa yang terperangkap dalam kediaman susulan banjir yang disifatkan terburuk di Selangor.

BACA JUGA:

Ramai puji kecantikan isteri Fizo Omar, sekali Mawar pun masuk komen
Adun Dusun Tua dakwa dihalang dari sambut kedatangan PM ke Hulu Langat

Artikel ini disiarkan pada 26/12/2021

COMMENTS

Wordpress (0)