Ada dakwaan terlibat dalam pengubahan wang haram, pejabat Vinod Sekhar diserbu, lapor portal

Sebuah portal berita hari ini melaporkan beberapa siri serbuan ke atas pejabat ahli perniagaan, Datuk Vinod Sekhar, susulan dakwaan terdapat penglibatan beliau dalam satu kes pengubahan wang haram di negara ini.

Artikel yang disiarkan portal MalaysiaNow itu menyebut – serbuan itu merupakan langkah siasatan awal terhadap kes tersebut, yang ia ditakrifkan sebagai antara kes pengubahan wang haram terbesar selepas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut artikel itu lagi, mereka difahamkan pegawai-pegawai dari Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melakukan serbuan ke atas premis Petra Group.

Ada dakwaan terlibat dalam pengubahan wang haram, pejabat Vinod Sekhar diserbu, lapor portal

MalaysiaNow takrifkan serbuan itu dilakukan berhubung satu kes pengubahan wang haram yang terbesar selepas skandal 1MDB. – Gambar hiasan

“Petra Group adalah syarikat yang mengendalikan rangkaian beberapa syarikat dan organisasi, diketuai oleh Vinod yang merupakan seorang ahli perniagaan yang juga penyokong kuat kepada Presiden PKR (Datuk Seri) Anwar Ibrahim.

“Sumber rapat dengan siasatan tersebut memberitahu MalaysiaNow serbuan itu dijalankan kira-kira dua minggu lalu di Bangsar, susulan siasatan selama beberapa bulan berhubung dakwaan pengubahan wang dan pengelakan cukai melibatkan ratusan juta ringgit,” kata MalaysiaNow lagi.

Selain itu, MalaysiaNow turut menyebut pegawai penyiasat merampas “beberapa dokumen dan barangan” sebagai sebahagian daripada siasatan tersebut, dan serbuan itu dilakukan ketika Vinod dipercayai berada di luar negara.

Pada Jun, MalaysiaNow melaporkan Vinod melalui GR Technologies, sebuah syarikat beralamat di Bangsar memperoleh bahagian terbesar kontrak bernilai bilion dolar bagi membekalkan ventilator atau alat bantuan pernafasan kepada kerajaan Hungary.

Menurut artikel itu lagi, Hungary yang membeli ventilator daripada pelbagai pembekal mencetuskan kekecohan tahun lalu ketika pandemik COVID-19 memuncak di Eropah selepas ahli politik pembangkang menyelar dan mengecam pemberian kontrak kerajaan itu, menyifatkannya sebagai tidak telus selain turut menyebabkan lebihan bekalan alatan tersebut.

“Mereka juga berkata ventilator yang dibeli oleh Hungary adalah terlalu mahal, mempersoalkan mengapa pembelian itu dibuat melalui kementerian luar negara.

“Vinod mengesahkan menerima kontrak itu namun menegaskan “semuanya mengikut landasan yang betul”, sambil menambah beliau menerima “peratusan biasa” dalam bentuk komisen,” menurut artikel itu lagi.

Selain itu, MalaysiaNow menyebut, dokumen yang mereka peroleh dari Hungary menunjukkan Budapest bersetuju untuk membayar kepada Vinod sejumlah AS$559,600,000 melalui beberapa akaun bank, yang pada masa kontrak diberikan pada Mei 2020 bernilai hampir RM2.43 bilion.

Ketika ini, Astro AWANI sedang cuba mendapatkan maklum balas dari unit komunikasi korporat Petra Group mengenai kandungan artikel itu, termasuk pengesahan tentang serbuan yang didakwa berlaku.

Astro AWANI juga sedang menunggu pengesahan dari pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara ini.

BACA JUGA : Gempar !!! Asteroid gergasi rempuh orbit Bumi hari ini
Gempar !!! Majlis pengenalan kumpulan kongsi gelap diserbu polis

CATEGORIES