Seramai 86 rakyat Malaysia akan dibawa pulang dari Kaherah, Mesir menaiki pesawat sewaan khas kerajaan Brunei Darussalam yang dijangka tiba di Bandar Seri Begawan esok.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kesemua mereka akan dibawa pulang pada hari yang sama dengan menaiki pesawat sewaan khas Malaysia Airlines dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11.25 pagi esok.
“Dengan mengambil kira hubungan dua hala yang istimewa Malaysia dan Brunei, kerajaan juga bersetuju untuk membawa pulang 142 warganegara Brunei yang terkandas di Malaysia dengan menaiki pesawat khas yang sama,” katanya melalui media sosial mengenai perkembangan terkini proses pemindahan rakyat Malaysia di luar negara.
Beliau berkata, kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Brunei di atas keprihatinan dan kesudian untuk membawa pulang warganegara Malaysia yang terkandas di Mesir.
Kamarudin turut berkongsi satu lagi khabar gembira apabila menyatakan bahawa 18 rakyat Malaysia yang terkandas di Maldives akan dibawa pulang melalui usahasama dengan syarikat penerbangan Weststar Aviation.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada syarikat penerbangan dari Malaysia itu di atas kesudian membantu kepulangan kumpulan rakyat Malaysia berkenaan dengan kos penerbangan dibiayai sepenuhnya oleh syarikat berkenaan.
Kamarudin berkata, sehingga hari ini jumlah rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara kian meningkat iaitu kepada 3,616 di 58 buah negara.
Katanya, peningkatan itu memandangkan kebanyakan negara terus melaksanakan kawalan sempadan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19, temasuk pembatalan penerbangan antarabangsa menggunakan pesawat komersial.
Mengulas lanjut, beliau berkata sehingga hari ini, jumlah tertinggi warganegara Malaysia yang masih terkandas di luar negara adalah di India, seramai 1,988 orang.
Sumber : https://www.malaysiakini.com/news/517376