6 Hujah Presiden Pas yang sering digunakan dan ini jawapan balas

Abdul Hadi Awang mendakwa bahawa keputusan Pilihanraya Umum 2018 memihak kepada majoriti Non Muslim dalam Pakatan Harapan.

Kemenangan calon calon Non Muslim adalah melalui pilihanraya dan mereka menang di kawasan majoriti Non Muslim mengalahkan calon-calon Non Muslim daripada parti kerajaan sebelumnya iaitu BN seperti MCA, MIC dan Gerakan.

Tidak ada satu pun calon calon Non Muslim daripada Pakatan Harapan memenangi kerusi yang ditandingi oleh calon Muslim. Bahkan terdapat calon-calon Muslim Pakatan Harapan berjaya memenangi kerusi yang ditandingi calon non Muslim daripada Barisan Nasional.

Contohnya Parlimen Kuantan yang dimenangi calon PKR, Fuziah Saleh yang mengalahkan calon calon MCA (BN). Begitu juga Parlimen Tanjung Piai, calon Pakatan Harapan Dr Mohamed Farid Md Rafik berjaya menewaskan calon MCA (BN) Wee Jeck Seng.

Adakah Abdul Hadi akan menyuarakan kebimbangan yang sama jika majoriti calon non Muslim yang menang itu daripada MCA dan MIC yang hari ini bekerjasama dengan mereka? Tindakan Abdul Hadi mempertikaikan kemenangan calon calon non Muslim melalui pilihanraya menunjukkan sikap beliau yang tidak menghormati proses demokrasi

DS Abdul Hadi mendakwa bahawa Parti Tindakan Demokratik (DAP) mempunyai keanggotaan majoriti Cina beragama Kristian dan saki baki Parti Komunis yang telah diharamkan.

Rekod rasmi keahlian DAP, hanya 10 peratus anggotanya beragama Kristian. Manakala lebih 50 peratus beragama Buddha dan bakinya pelbagai agama termasuk beragama Islam.

Parti DAP adalah parti berbilang kaum dan ada diantara ahli parlimen dan adunnya yang memenangi pilihanraya beragama Islam.

Menuduh DAP adalah saki bagi Parti Komunis adalah satu fitnah. Ini kerana adalah fakta sejarah bahawa DAP adalah lahir dari parti PAP pimpinan Lee Kuan Yew selepas Singapura keluar dari Malaysia pada 1965. PAP sejak dulu terkenal sebagai parti yang sangat anti komunis. Parti Komunis Malaya (PKM) sendiri telah di haramkan sejak sekian lama di Malaysia. Jika benar DAP adalah saki baki Komunis, mengapa ia tidak diharamkan seatelah lebih 50 tahun bertapak di Malaysia. Oleh itu tiada sebarang bukti diberikan oleh Abdul Hadi bagi menyokong dakwaan beliau tersebut.

DS Abdul Hadi mendakwa tiada perjanjian bertulis menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri kelapan.

Menamakan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan selepas Tun Dr Mahathir Muhamad adalah muafakat bertulis Pakatan Harapan yang ditandatangani oleh lima tokoh iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi Pakatan Harapan), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PKR), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden PPBM), Mohamad Sabu (Presiden AMANAH) dan Tan Kok Wai (Pengerusi DAP) dan diistiharkan oleh Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Dato Saifuddin Abdullah dalam Konvensyen Pakatan Harapan di IDCC Shah Alam pada 6 Januari 2018.

Muafakat bertulis ini bukanlah dokumen rahsia kerana ianya dihebahkan kepada umum dan menjadi antara bahan kempen utama Pakatan Harapan dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke 14.

Tun Dr Mahathir juga beberapa kali menyebut bahawa beliau akan menyerahkan kuasa kepada Anwar. Perbincangan tarikh peralihan kuasa kepada Anwar juga dilakukan dalam mesyuarat Pakatan Harapan yang dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir sendiri dan akhirnya semua bersepakat dengan keputusan menyerahkan kepada Tun Mahathir menentukan tarikh peralihan kuasa tersebut.

Aneh apabila Abdul Hadi membuat tuduhan ianya usaha dalaman dan tidak dipersetujui sedangkan majoriti rakyat Malaysia mengetahuinya melalui media media utama negara pada 7 Januari 2018.

DS Abdul Hadi mendakwa bahawa jumlah ahli parlimen Muslim samada dipihak kerajaan dan pembangkang tidak mencapai majoriti di parlimen.

Dakwaan Abdul Hadi ini sangat mengelirukan. Ini kerana ahli parlimen Malaysia beragama Islam berjumlah 140 orang berbanding 82 orang yang bukan Islam. Ia membentuk 63 peratus iaitu satu jumlah yang majoriti. Selain itu seramai 13 orang ahli parlimen UMNO beragama Islam telah keluar UMNO dan menyertai PPBM menjadikan jumlah ahli parlimen beragama Islam di dalam Pakatan Harapan sebelum kejatuhan kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir adalah melebihi jumlah ahli parlimen bukan Islam iaitu berjumlah 73 orang berbanding ahli parlimen bukan Islam.

Walaupun begitu beberapa keputusan besar kerajaan yang perlu melibatkan kelulusan parlimen, maka undian akan dilakukan oleh kesemua ahli ahli parlimen kerajaan dan pembangkang yang pastinya 63 peratusnya beragama Islam.

DS Abdul Hadi mendakwa terdapat usaha meminda perlembagaan untuk melemahkan kedudukan Islam dan Bumiputera.

Tidak ada sebarang pindaan atau usaha meminda perlembagaan berkait Islam dan Bumiputera sepanjang 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan. Yang ada ialah usaha meminda perlembagaan untuk meletakkan negeri Sarawak dan Sabah sebagai wilayah yang sama taraf dengan Semenanjung, bukan sekadar negeri. Namun pindaan ini gagal kerana ditolak pembangkang termasuk PAS.

Sebaliknya yang berlaku ialah kerajaan PH sepaqnjang 22 bulan pemerintahan berusaha gigih bagi memperkasakan system pentadbiran undang-undang Islam dan mahkamah syariah melalui pelbagai inisiatif antaranya penggubalan Akta Profesyen Guaman Syarie 2019 dan penubuhan Mahkamah Khas Hadhanah & Nafkah bagi membantu wanita Islam.

Keduanya untuk meminda perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga ahli parlimen yang semestinya memerlukan sokongan pembangkang juga. Maka mustahil akan berlaku pindaan perlembagaan tanpa sokongan pembangkang.

Ketiganya, pindaan perlembagaan yang melibatkan Islam sebagai agama Persekutuan dan kaum Bumiputera, mestilah mendapat perkenan Majlis Raja Raja. Maka satu pembohongan mendakwa ahli ahli parlimen kerajaan berusaha untuk meminda perlembagaan berkait Islam dan bumiputera kerana ia tidak boleh berlaku sama sekali tanpa majoriti dua pertiga dan sokongan Majlis Raja Raja. Ia adalah fitnah daripada PAS.

Jadi dakwaan ahli parlimen Muslim minoriti adalah tidak benar sama sekali.

DS Abdul Hadi mendakwa bahawa Anwar Ibrahim, AMANAH dan DAP telah pergi bertemu Tun Mahathir menyerahkan cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Cadangan menubuhkan kerajaan perpaduan adalah cadangan Tun Dr Mahathir, bukannya cadangan Anwar Ibrahim, AMANAH dan DAP. Sehari selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Interim, Tun telah memanggil setiap ketua ketua kesemua parti ke Putrajaya menawarkan membentuk kerajaan perpaduan. Ia berlaku selepas Tun mendakwa dijanjikan sokongan oleh PAS dan UMNO untuk beliau kekal sebagai Perdana Menteri.

Ternyata ianya satu pembohongan, apabila PAS dan UMNO menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Sebelumnya, selepas mengadap Yang Dipertuan Agung, PAS dan UMNO melalui sidang media Setiausaha Agung kedua dua parti mengumumkan desakan agar dibubarkan parlimen dan bukannya menamakan Tun Dr Mahathir. Jelas PAS membohongi Tun Mahathir

COMMENTS

Wordpress (0)