6 helikopter ATM beli pada 2015 bakal diterima tahun depan

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, Angkatan Tentera Malaysia dijangka menerima 6 helikopter tempur ringan jenis MD530G secara berperingkat mulai Jun tahun depan.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau dipetik Bernama sebagai berkata, ia perlu melalui ujian penilaian dan memenuhi kriteria aset ATM sebelum kerajaan menerimanya.

“Ujian penilaian bermaksud helikopter berkenaan perlu dibuat penilaian sama ada sesuai untuk dijadikan aset ATM atau sebaliknya,” katanya selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara Bernama TV malam tadi.

Tahun lalu, media melaporkan 6 helikopter yang dikeluarkan gergasi aeroangkasa Amerika Syarikat, McDonnel Douglas, ditempah Kementerian Pertahanan di bawah pimpinan Hishammuddin Hussein pada 2015.

Helikopter pertama sepatutnya diterima pada November 2017, tetapi ia tidak diterima kerajaan selepas membayar RM112 juta atau 35% daripada jumlah keseluruhan pembelian itu.

Menurut laporan, kelewatan penghantaran 6 helikopter lebih dikenali dengan panggilan “Little Birds” yang melibatkan projek bernilai RM321.9 juta itu disebabkan pelbagai isu teknikal berkaitan syarikat pembuat asal (OEM).

Pada 11 Mac lalu, Hishammuddin dilaporkan berkata, Kementerian Pertahanan akan menerima 6 helikopter MD530G pada hujung tahun ini.

Katanya, perkara itu dimaklumkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi dan isu itu sudah selesai.

Ismail Sabri berkata, satu pasukan berlepas ke AS semalam untuk menjalankan ujian penilaian ke atas helikopter itu.

Jika helikopter itu sesuai dijadikan aset ATM, katanya, sebuah lagi pasukan akan dihantar ke AS untuk melakukan proses pensijilan aset.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, kementeriannya sedang memohon penambahan anggota ATM dengan Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Sekarang ini, kita merancang menambah bilangan keanggotaan ATM di Sabah dan Sarawak kerana kawasan sempadan di sana lebih luas sebagai contoh di Lahad Datu.”

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/14/6-helikopter-rm300-juta-dijangka-diterima-mulai-jun-2021-kata-menteri/

COMMENTS

Wordpress (0)