5 sekeluarga dapat rumah, hikmah gantung bendera putih

5 sekeluarga dapat rumah, hikmah gantung bendera putih. Hikmah di sebalik mengantung bendera putih berikutan keadaan yang mendesak, akhirnya memberi sinar baharu kepada keluarga Syed Sidiq Abudin Syed Abdul Aziz, 42.

Dia dan isteri Erala Ismail, 45, bersama tiga anaknya sebelum ini, terpaksa hidup berhimpit kerana hanya mampu menyewa sebuah bilik di Jalan Munshi Abdullah, dengan kadar RM350 sebulan.

Katanya, dia tidak menyangka tindakannya menggantung bendera putih pada Selesa lepas di luar tempat tinggal mereka, mendapat perhatian ramai pihak termasuk kerajaan negeri, Ahli Parlimen, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan.

“Alhamdulillah rasa sangat bersyukur kerana bantuan tidak putus-putus selepas itu, dan kami turut diberi bantuan rumah sewa dua bilik di Rumah Pangsa Kampung Padang, di bawah Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

rumah

“Pastinya ia memberi satu kegembiraan yang bermakna seperti Allah makbulkan doa kami, dan kelegaan kerana tidak perlu lagi bimbang dengan keselamatan anak-anak di rumah baharu, yang lebih selesa dan luas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Syed Sidiq berkata, dengan menjalani kehidupan baharu bersama keluarganya di kediaman itu, turut menyuntik semangatnya untuk mencari kerja baharu, selepas diberhentikan sebagai pembantu kedai di sebuah medan selera sejak enam bulan lalu.

“Saya mahu ubah kehidupan agar lebih baik, dan berikan keselesaan kepada isteri dan anak-anak, supaya mereka tidak lagi merasa kesusahan,” katanya.

Sebelum ini tular di laman sosial, tindakan suami isteri itu menggantung bendera putih di luar tingkap bilik yang mendedahkan kesusahan lima beranak, yang mendiami sebuah bilik kecil.

Disebabkan terdesak dan terputus bekalan makanan, mereka akhirnya tekad dengan tindakan tersebut selepas melihat kempen itu di laman Facebook, kerana mengenang anak-anak yang terpaksa menahan kelaparan.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/04/hikmah-gantung-bendera-putih-5-sekeluarga-huni-bilik-kecil-dapat-rumah/

BACA JUGA : Dakwaan sewa PUTIK mahal, itu dah diskaun 50% – Pas