5 anggota polis bersama pegawai kanan ditahan dalam ‘pesta dadah’

5 anggota polis bersama pegawai kanan ditahan dalam ‘pesta dadah’

Seorang pegawai kanan dan lima anggota polis antara 14 yang ditahan ketika berpesta dan berhibur dalam ‘parti liar dadah’ di sebuah pangsapuri di bandar ini pagi tadi.

Semua mereka ditahan dalam serbuan 1.30 pagi oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata, pegawai kanan berusia 30-an dan lima anggota pelbagai pangkat berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun itu bertugas di kontinjen Perak.

“Ujian saringan air kencing dijalankan mendapati hanya pegawai terbabit dan empat angggota positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

“Dalam serbuan itu, kita turut menahan lima wanita tempatan dan tiga wanita Indonesia masing-masing berusia antara 20 hingga 40 tahun.

“Semua wanita tempatan dan dua wanita Indonesia yang ditahan itu didapati positif dadah,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, ketika ini polis sedang menyiasat sama ada premis digunakan mereka untuk berpesta disewa atau dimiliki individu yang ditahan.

Katanya, polis akan memohon perintah reman hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sindiket dadah tumpas

Dalam perkembangan berasingan, Mior berkata polis Perak berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga lelaki dan merampas 22.24kg dadah bernilai RM866,577 dalam tiga kes berasingan di Kamunting, Taiping, Ipoh dan perairan Pangkor.

Katanya, dalam tangkapan 1 pagi di sebuah rumah di Kampung Baru di Kamunting, kelmarin, oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, dua lelaki berusia 35 dan 26 tahun ditahan.

“Dalam tangkapan itu, kita merampas 110 peket plastik lutsinar dadah jenis heroin seberat 240g dan 6.77g syabu dengan nilai pasaran RM9,077.

“Tangkapan kedua pada 4 petang hari sama di kawasan Lapangan Symphony Business Park di Ipoh, JSJN IPK Perak menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang sedang menunggang motosikal.

“Ketika ditangkap, suspek cuba melarikan diri namun cubaannya gagal. Pemeriksaan menemui 10 peket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 4.5kg dianggarkan bernilai RM157,500,” katanya.

Beliau berkata, dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 17.5kg turut dijumpai terapung di perairan Pangkor pada 9.45 pagi, semalam.

Katanya, dadah yang diisi dalam guni itu dijumpai terapung oleh nelayan sebelum menghubungi polis.

“Pemeriksaan mendapati, terdapat 20 bungkus plastik serbuk teh dalam guni tersebut di mana daripada jumlah itu, 17 bungkus mengandungi dadah manakala selebihnya rosak kerana terendam dalam air.

“Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM700,000,” katanya.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/26/pegawai-kanan-5-anggota-polis-dicekup-pesta-dadah-bersama-8-wanita/