46 pakar sudah bagi cadangan 7 bulan lepas tapi kerajaan abai – Dr Dzulkefly

46 pakar sudah bagi cadangan 7 bulan lepas tapi kerajaan abai.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) menegaskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terlalu lewat untuk mengambil tindakan terhadap 10 cadangan kritikal yang telah disuarakan 46 pakar kesihatan terkemuka berhubung langkah mengatasi kadar jangkitan Covid-19.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, kesemua cadangan itu telah dikemukakan pada 7 Januari lalu ketika negara mencatatkan sejumlah 3,000 kes positif Covid-19.

pakar

“Hari ini Menteri (Kewangan) tolong beritahu (Ahli Parlimen) Pagoh sudah tujuh bulan lewat, sebab itu kita saksikan sejuta kes dan lebih 7,000 kematian.

“Beritahu YB Pagoh,” tegasnya ketika Menteri Kewangan, yang juga Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bangun menjawab, pada sesi penggulungan mengenai PPN petang tadi.

Dr Dzulkefly menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Mahiaddin tidak mempedulikan gesaan kesemua 46 pakar perubatan terbabit supaya kerajaan mengambil tindakan serius sebelum negara memasuki ‘unit rawatan rapi’ Covid-19.

“Kini langkah-langkah itu ada dalam PPN. Tujuh bulan terlalu lewat. Jumlah kes satu juta! Kematian hampir 8,000!

#KerajaanPembunuh?” ciapnya kemudian di Twitter.

Percepatkan vaksin

Pada 7 Januari lalu, seramai 46 pakar kesihatan terkemuka negara dalam sepucuk surat terbuka kepada Perdana Menteri antara lain menggesa supaya kadar ujian saringan ditingkatkan menggunakan ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK).

Berbanding kit PCR, jelas mereka, RTK mampu menghasilkan keputusan dalam tempoh kurang 24 jam.

Selain itu, mereka juga menyarankan supaya individu positif Covid-19 yang tidak mengalami gejala dikuarantinkan di rumah.

“Kita perlu melindungi sumbangan anggota perubatan profesional di hospital Covid-19 dengan mengalihkan kesemua pesakit bukan Covid-19 ke hospital-hospital bukan khusus untuk Covid-19 serta hospital swasta.

“Ini membenarkan mereka untuk fokus kepada kes-kes yang paling parah,” tegas pakar-pakar dalam surat itu.

Antara pakar yang menandatangani surat itu termasuk Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman, bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Christopher Lee, bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan dan Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, Profesor Perubatan Universiti Malaya.

Pada masa sama, mereka juga menuntut agar proses meluluskan vaksin Covid-19 dipercepatkan di samping maklumat berhubung vaksin disampaikan kepada rakyat.

“Sebuah Jawatankuasa Covid-19 yang merentasi sektor dan memperkasakan pakar-pakar subjek tertentu harus dibentuk dengan segera untuk menyampaikan nasihat berasaskan bukti,” kata mereka.

Akhir sekali, mereka terbabit turut mengingatkan supaya pandemik ini tidak dipolitikkan mana-mana pihak.

“Sebaliknya, bentukkan konsensus bipartisan serta kata sepakat untuk pendekatan bagi meratakan keluk jangkitan dan mencapai kelompok imuniti sebagai perlindungan masyarakat untuk hidup bersama virus ini.

“PRU15 di tengah-tengah pandemik yang tidak terkawal ini adalah satu bencana yang hanya menunggu masa untuk berlaku, seperti yang dibuktikan dengan PRN Sabah,” tegas kumpulan pakar berkenaan.

Berita Penuh : https://malaysiadateline.com/pm-terlalu-lewat-ambil-tindakan-walau-46-pakar-sudah-tujuh-bulan-bersuara/

BACA JUGA : Gangguan seksual kanak-kanak, netizen serang IG artis popular

COMMENTS

Wordpress (0)