38 terbunuh : Akibat rampasan kuasa, rakyat Myanmar turun berdemo

38 terbunuh : Akibat rampasan kuasa, rakyat Myanmar turun berdemo

Tiga puluh lapan orang terbunuh di Myanmar ketika pasukan tentera mematahkan tunjuk perasaan di beberapa bandar dan pekan pada hari Rabu, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Reuters melaporkan PBB menyuarakan kebimbangan mengenai hari paling ganas sejak demonstrasi menentang rampasan kuasa tentera bulan lalu pertama kali meletus.

Polis dan tentera melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup dengan sedikit amaran, kata saksi.

Pertumpahan darah itu berlaku sehari selepas negara-negara jiran Asean meminta pemerintahan tentera di Myanmar mengelakkan keadaan yang mungkin mencetuskan ketidakstabilan di rantau ini.

“Ini mengerikan, ini pembunuhan beramai-ramai (massacre). Tidak ada kata-kata yang dapat menggambarkan keadaan dan perasaan kami,” kata aktivis muda Thinzar Shunlei Yi kepada Reuters.

Mereka yang terbunuh termasuk empat kanak-kanak, kata sebuah agensi bantuan. Ratusan penunjuk perasaan ditangkap, lapor media tempatan.

“Hari ini adalah hari paling berdarah sejak rampasan kuasa berlaku pada 1 Februari. Pada hari ini saja – hanya hari ini – ada 38 orang maut.

“Sekarang di Myanmar sudah lebih 50 orang meninggal dunia sejak rampasan kuasa bermula, dan ramai yang cedera,” kata Utusan Khas PBB ke Myanmar, Christine Schraner Burgener, lapor Reuters.

Jurucakap dewan tertinggi tentera yang berkuasa tidak menjawab panggilan telefon Reuters untuk mendapatkan maklum balas.

Majlis Keselamatan PBB dijangka membincangkan keadaan Myanmar pada hari Jumaat dalam pertemuan tertutup, kata diplomat.

Di ibu kota Yangon, saksi berkata sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh, tujuh daripadanya ketika pasukan keselamatan melepaskan tembakan di sebuah kejiranan di utara bandar itu pada awal petang Rabu.

“Saya mendengar tembakan berterusan. Saya meniarap di atas tanah, mereka banyak menembak,” kata penunjuk perasaan Kaung Pyae Sone Tun, 23, kepada Reuters.

Di Washington, jurucakap Jabatan Negara, Ned Price dipetik Reuters berkata Amerika Syarikat “terkejut” dengan peningkatan keganasan di Myanmar.

Pentadbiran Presiden Joe Biden sedang menilai langkah-langkah “sesuai” untuk bertindak balas dan tindakan apa pun akan disasarkan kepada tentera Myanmar, katanya.

Amerika Syarikat telah menyatakan kepada China bahawa ia sedang meminta Beijing untuk memainkan peranan yang membina di Myanmar, kata jurucakap itu.

Kesatuan Eropah pula dipetik Reuters berkata penembakan orang awam yang tidak bersenjata dan pekerja perubatan adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa yang jelas. Ia juga mengatakan tentera meningkatkan penindasan terhadap media, dengan semakin banyak wartawan ditangkap dan didakwa.

Pada hari Selasa, Asean mengadakan pertemuan menteri luar negeri maya di Myanmar.

Asean meminta Myanmar bekerjasama dengan anggota Asean untuk mengelakkan keadaan yang mungkin mencetuskan ketidakstabilan di rantau ini.

Bagaimanapun, hanya empat negara Asean iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina menggesa pembebasan Aung San Suu Kyi dan tahanan lain.

Menteri Luar Hishammuddin Hussein dalam mesyuarat Asean pada Selasa berkata Malaysia prihatin terhadap situasi di Myanmar.

“Kami mendesak semua pihak berkaitan tidak menggunakan kekerasan terhadap orang awam yang tidak bersenjata.

“Kami sangat prihatin terhadap kehilangan nyawa dan kecederaan mereka yang tidak bersalah di Myanmar.

“Kami berharap Myanmar memberi ruang kepada rakyatnya mengamalkan kebebasan bersuara dan berhimpunan secara aman,” katanya sehari sebelum kejadian berdarah pada Rabu.

Parti pimpinan Suu Kyi, Liga Demokratik Kebangsaan (NLD) menang pilihan raya umum Nov lalu.

Bagaimanapun, tentera Myanmar melancarkan rampasan kuasa pada pagi 1 Februari, beberapa jam sebelum parlimen bersidang.

Tentera menahan Kaunselor Negara, Suu Kyi, Presiden Win Myint, dan pemimpin kanan NLD.

Junta juga mengisytiharkan perintah darurat setahun dan berjanji untuk “mengambil tindakan” terhadap tuduhan penipuan undi semasa pilihan raya umum 8 November, yang dimenangi parti NLD.

Pemimpin junta tentera, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing telah berjanji untuk mengadakan pilihan raya baru tetapi tidak memberi jangka masa.

Suu Kyi, 75, telah ditahan tanpa komunikasi sejak kudeta itu tetapi muncul di mahkamah melalui sidang video minggu ini dan kelihatan sihat, kata seorang peguam.

Berita Penuh :https://m.malaysiakini.com/news/565196