31 pegawai, anggota polis disyaki terlibat Macau Scam masih lagi bertugas

31 pegawai, anggota polis disyaki terlibat Macau Scam masih lagi bertugas

Semua 31 pegawai dan anggota polis yang disyaki terlibat dalam Macau Scam dan kegiatan perjudian dalam talian masih lagi bertugas namun sudah ditukarkan ke jabatan lain sementara menunggu keputusan hukuman terhadap mereka.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Zamri Yahya berkata, terdapat antara mereka yang ditukarkan daripada jawatan masing-masing untuk mengelakkan daripada terlibat semula dengan kegiatan itu.

“Seperti OCPD (ketua polis daerah) misalnya telah ditukarkan, ada yang ke KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan ada yang ke tempat atau jabatan lain. Itu merupakan langkah sementara untuk kami mudah melakukan siasatan (terhadap mereka),” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, siasatan berhubung kes berkenaan sudah selesai dan bagi tindakan dan hukuman sebenar terhadap mereka terbabit kelak akan diputuskan oleh Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang akan bersidang bagi meneliti bukti yang ada untuk dijatuhkan hukuman.

Zamri berkata, peranan JIPS hanya melakukan siasatan dan bukannya menjatuhkan hukuman terhadap pegawai dan anggota polis yang didapati bersalah.

“JIPS hanya menyiasat dan apabila habis siasatan, maka kami akan rujuk ke Ketua Polis Negara (Abdul Hamid Bador) sebelum dihantar ke SPP untuk bersidang bagi menentukan keputusan hukuman.

“Antara tindakan atau hukuman yang akan dikenakan terhadap mereka ialah buang kerja dan turun pangkat dan setakat ini, tiada lagi pegawai atau anggota yang disyaki terlibat selain 31 orang ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan dua lelaki ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Oktober 2020 selepas didapati menjalankan kegiatan jenayah yang menyasarkan mangsa di China selain bekerjasama dengan kartel penipuan di luar negara.

SPRM turut menahan serta menyoal siasat beberapa selebriti terkenal, pegawai dan anggota polis berkenaan sindiket terbabit.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/03/31-pegawai-anggota-polis-disyaki-terlibat-macau-scam-judi-dalam-talian-ditukar/