3 pilihan Muhyiddin : Letak jawatan, bubar atau Mageran

3 pilihan Muhyiddin : Letak jawatan, bubar atau Mageran . Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai beberapa pilihan termasuk meletak jawatan bagi membolehkan Dewan Rakyat dibubarkan dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dengan kadar segera bagi mendapatkan mandat baharu dari rakyat.

Ia perlu dilakukan jika ahli-ahli Parlimen UMNO mengikut arahan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu seperti yang diisytiharkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Muhyiddin tidak mendapat sokongan majoriti baharu.

Bagaimanapun, jika Parlimen terbubar, ordinan darurat tidak dapat dibahaskan, oleh itu ordinan itu hanya terbatal enam bulan selepas 1 Ogos depan.

Muhyiddin

Itupun jika tiada proklamasi darurat baharu atau ordinan baharu dikeluarkan di bawah Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

Memandangkan tempoh masa yang dinyatakan di bawah Ordinan Darurat sedia ada adalah sehingga 1 Ogos 2021, ordinan masih boleh dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh sebelum tarikh tersebut.

Ia bermakna daripada tafsiran peruntukan yang ada, tarikh PRU-15 boleh diadakan selewat-lewatnya pada 1 April 2022, iaitu 60 hari selepas ordinan darurat berakhir pada 1 Februari 2022.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam kanan, Mohd. Zainuddin Omar berkata, dalam keadaan Perdana Menteri telah pun meletak jawatan dan Kabinet secara automatik terbubar, pentadbiran negara seeloknya ditadbir oleh satu jawatankuasa darurat seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Langkah sedemikian katanya, demi memulihkan negara sehingga PRU-15 dapat diadakan.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong boleh masyhurkan pentadbiran kerajaan darurat di bawah jawatankuasa seperti Mageran dengan mengeluarkan ordinan sebelum Ogos 2021.

“Apabila Parlimen sudah dibubarkan, status ahli-ahli Parlimen juga gugur secara automatik.

“Kerajaan darurat tidak perlulah membayar gaji ahli-ahli Parlimen ini sehinggalah PRU diadakan dan mereka dipilih semula sebagai ahli parlimen,” katanya di sini semalam.

Rabu lalu, sidang mesyuarat MKT UMNO yang diadakan secara dalam talian memutuskan menarik balik sokongan serta-merta terhadap Muhyiddin.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, sokongan yang diberikan UMNO sejak Mac tahun lalu itu ditarik balik selepas mendapat undian dua pertiga ahli MKT.

Mohd. Zainuddin berkata, sampai masanya kerajaan darurat mengambil-alih sementara pemerintahan negara kerana dengan keadaan pandemik Covid-19 yang makin meningkat, kehidupan rakyat terjejas sehingga menaikkan bendera putih, ditambah pula kerenah orang-orang politik berebut kuasa, kerajaan jatuh, ramai rakyat berasa terancam sekarang.

“Keselamatan rakyat, kehidupan ekonomi rakyat dan ketenteraman awam benar-benar terancam sekarang kerana keadaan politik yang bercelaru,” katanya.

Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/terkini/2021/07/letak-jawatan-pru-15-atau-serah-mageran/

jika terlepas: Mengapa netizen sering kecam Menteri Agama?