3 hari lawatan Turki Khairuddin bawa balik pelaburan RM82 Bilion, dakwa Azeez

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menolak dakwaan ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim yang mengatakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali membawa masuk pelaburan bernilai RM82 bilion berikutan lawatan 3 hari beliau ke Turki.

Bekas menteri industri utama itu berkata, mustahil seorang menteri boleh membawa balik pelaburan besar dalam tempoh yang singkat.

Beliau juga berkata, Azeez tidak mempunyai bukti untuk menyokong dakwaan “mentah” itu.

Kok berkata, jumlah hasil eksport dari komoditi di bawah kementerian Khairuddin pada 2019 adalah sebanyak RM114.2 bilion, dengan minyak sawit dan getah masing-masing menyumbang sebanyak RM59 bilion dan RM28.1 bilion.

“Kemudian pada sesi petang Dewan Rakyat, Azeez membetulkan kenyataannya dengan berkata, Khairuddin membawa pulang pelaburan sebanyak RM82 bilion selama setengah tahun beliau menjadi menteri. Ini menunjukkan dia berbohong lagi.

“Sekiranya Azeez boleh membuktikan bahawa Khairuddin memang membawa balik RM82 bilion semasa lawatan peribadinya ke Turki atau selama 5 bulan menjadi menteri Kabinet, saya akan menganggap ini sebagai suatu pencapaian yang amat besar, yang tidak mungkin dicapai oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sendiri.

“Sekiranya dia boleh memberikan bukti tersebut, maka saya ingin mencadangkan agar Khairuddin diangkat menjadi perdana menteri kerana pencapaiannya mengatasi semua menteri Kabinet lain, termasuk Muhyiddin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejak minggu lalu, Khairuddin menjadi perhatian berikutan kegagalannya menjalani kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari Turki pada 7 Julai.

Beliau dikenakan kompaun RM1,000 pada 7 Ogos lalu atas kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador juga mengesahkan pihaknya membuka kertas siasatan terhadap Khairuddin kerana gagal mematuhi perintah kuarantin wajib.