22 NGO desak keabsahan PM ditentukan sekarang bukan September

MP

22 NGO desak keabsahan PM ditentukan sekarang bukan September. 22 Pertubuhan Bukan Kerajaan dan Pertubuhan Masyarakat Sivil daripada pelbagai latar belakang mendesak Parlimen bersidang segera untuk menentusahkan kedudukan kerajaan sekarang tanpa perlu menunggu Semptember nanti.

Dalam satu kenyataan bersama mereka berkata, mengambil kira kesan negatif ketidakstabilan politik terhadap usaha-usaha kerajaan untuk menangani krisis-krisis negara, sidang Dewan Rakyat perlu diadakan seberapa segera dan tidak dilengahkan sehingga ke bulan September.

“Sidang yang segera diperlukan untuk membuktikan majoriti Perdana Menteri di Parlimen,” kata kenyataan bersama itu.

Bagi mereka, kelewatan mengadakan Sidang Dewan Rakyat dikhuatiri akan mengheret negara kepada situasi yang lebih meruncing, khususnya yang melibatkan nyawa, kesihatan dan kelangsungan hidup rakyat Malaysia.

“Kelewatan bersidang juga bakal melahirkan situasi politik yang tidak sihat termasuklah kejadian lompat parti seperti yang biasa berlaku di negara ini.

ngo

“Situasi sebegini hendaklah dielakkan kerana ia mengalihkan perhatian pemimpin negara daripada menangani krisis-krisis yang sedang melanda,” kata mereka.

22 pertubuhan yang menandatangani kenyataan ini adalah:-

1. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
2. Aliran
3. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
4. Cakne Rakyat Pahang
5. Centre for Independent Journalism (CIJ)
6. Gabungan Bertindak Malaysia (GBM)
7. Mahasiswa Roket
8. Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)
9. Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK)
10. Persatuan Belia Harmoni Malaysia (HARMONI)
11. Persatuan Kebajikan Aafiyah Shah Alam
12. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
13. Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health)
14. Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT)
15. Pertubuhan Al-nur Negeri Kelantan
16. Pertubuhan Impian Wanita Berdaya Selangor
17. Pertubuhan Mawaddah Malaysia
18. Pertubuhan Teratak Rahmah Wanita Islam
19. Projek #BangsaMalaysia
20. Projek Wawasan Rakyat (POWR)
21. The Coalition for Clean and Fair Elections (Bersih 2.0)
22. Yayasan Atfal Jannah

Bagi mereka, penarikan sokongan Umno kepada Kerajaan PN telah menimbulkan persoalan berkenaan keabsahan kerajaan yang ada sekarang.

Insiden ini menimbulkan ketidakstabilan politik dan menjejaskan usaha-usaha untuk menangani krisis kesihatan pandemik Covid-19 yang semakin meruncing, krisis ekonomi dan krisis sosial yang melanda.

Dalam sidang media khas pada Rabu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri akan ditentukan dalam usul percaya dalam Sidang Dewan Rakyat pada September ini.

Pada masa yang sama, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan Pertubuhan Masyarakat Sivil menggesa agar semua pihak khususnya pemimpin parti politik serta penjawat awam supaya meletakkan kepentingan negara dan rakyat sebagai keutamaan.

Keutamaan hendaklah diberikan untuk menangani pandemik Covid-19 dan keadaan ekonomi yang membebankan rakyat sehingga menjejas kesejahteraan institusi keluarga dan menimbulkan pelbagai masalah psikologi dan sosial.

Sehubungan itu juga, mereka menggesa agar pemimpin-pemimpin politik dan ahli-ahli parlimen merentasi parti politik mengetepikan perbezaan politik dan bersama-sama berganding bahu untuk menangani krisis-krisis yang melanda.

Pertubuhan Bukan Kerajaan dan Pertubuhan Masyarakat Sivil sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk Malaysia dan menegaskan kesediaan berganding bahu dengan pelbagai pihak untuk menyelesaikan krisis-krisis yang sedang melanda negara, kata kenyataan itu.

Berita Penuh : https://malaysiadateline.com/sidang-parlimen-perlu-diadakan-sekarang-bukan-tunggu-september-desak-22-ngo/

BACA: Panas !!! Tular kenyataan Umno Johor bakal kerjasama PH

COMMENTS

Wordpress (0)