Usul Undi Percaya : UMNO Tak Akan Jadi "Busy Body" Macam PAS


Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berpandangan bahawa PAS ada hak untuk membawa 'usul undi percaya' kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat tetapi berkata Umno tidak perlu masuk campur dalam masalah PH.

"Dari segi peraturan PAS memang boleh berbuat demikian dan jika speaker Dewan Rakyat membenarkannya. Parti politik boleh memilih sama ada memberi kebebasan kepada anggota parlimen untuk memilih mengikut hati nurani masing-masing, mengundi mengikut ketua whip atau berkecuali.

"Spekulasi akan terus berlaku, siapa pilih apa dan sokong siapa. Politik Malaysia terus menarik dan tidak menentu, tetapi ini tidak baik untuk negara," katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkenaan 'usul undi percaya' sebagai sokongan agar Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal ini.

Tuan Ibrahim berkata, ia diputuskan dalam mesyuarat bulanan PAS dan ia bagi mengakhiri isu peralihan kuasa yang menurut mereka “telah mengganggu kestabilan politik dan ekonomi”.

Annuar menegaskan bahawa PH adalah formula yang gagal dan rakyat "tidak sabar mahukan kerajaan yang lain."

"Masalah kerajaan adalah tanggungan PH, dan gabungan itu ada masalah dalaman sesama mereka.

"Apa yang terbaik adalah untuk mereka selesaikan sendiri masalah itu. Umno tak perlu 'busybody' dengan masalah PH," katanya yang juga anggota parlimen Ketereh, yang bagaimanapun menambah parti itu boleh berbincang jika ia berkaitan dengan kepentingan negara.

"Umno, BN dan Muafakat Nasional mempunyai tugas berat, bukan soal (tubuh kerajaan baru ikut) pintu depan atau belakang. Tetapi apakah yang boleh kita lakukan secara kolektif dalam suasana politik pelbagai parti dan demi kepentingan pelbagai kaum," katanya lagi.