Usaha Martabat Mahkamah Syariah Jauh Lebih Mudah di Zaman PH


Kerusi kosong di sebelah Tan Sri Sheikh Ghazali itu lazimnya diisi oleh Allahyarham Datuk Paduka Diraja Hj Daud Muhammad. Kebetulan atau tidak, sepanjang 4 hari kami Jawatankuasa Undang-undang Syarak Sivil bermesyuarat kali ini, tak ada sesiapa pun di kalangan ahli mesyuarat yang duduk di kerusi ini. Mungkin masing-masing masih belum ‘move on’ dan masih teringatkan susuk tubuh beliau. Barangkali.


Terfikir juga. Tatkala ada segolongan tenokrat bangsawan berbangsa Melayu G25 sibuk mempertikaikan keperlembagaan Jakim, ia sebenarnya tidak mampu menafikan kerelevenan Jakim dalam memperkasakan kedudukan Islam di negara kita.

Para tenokrat bangsawan berbangsa Melayu itu pasti akan ada sekelumit malu alah untuk mengkritik keberadaan Jakim ini, walau sejengkal, jika melihat sendiri betapa teruknya para agamawan terdahulu seperti Allahyarham sendiri, mencurah masa dan tenaga mereka untuk melihat institusi Islam di negara kita mampu berdiri seperti hari ini, seperti kedudukan Mahkamah Syariah yang dahulunya amat daif dan terkebelakang berbanding Mahkamah Sivil, baik dari segi infra mahupun tangga gaji para Hakimnya.

Ketika para ahli mesyuarat sepanjang 4 hari ini sibuk menekuni draf undang-undang wakaf yang bakal dibentangkan di Parlimen sedikit hari lagi, masing-masing tidak lupa peranan Allahyarham yang terlibat secara langsung sejak awal lagi dan sering menjadi tempat rujuk dalam hal perundangan wakaf ini.


Pernah satu ketika, Tan Sri Gani Patail, bekas Peguam Negara meminta rujukan kitab ketika bincangkan satu isu undang-undang. Allahyarham dikatakan terus balik Kelantan, dan keesokannya terus membawa salinan fotostat rujukan dari kitab tersebut untuk diberikan kepada Tan Sri Gani, sehinggakan Tan Sri Gani terkejut dan kagum. Komitmen!

Hari ini, kebetulan ahli mesyuarat dijadualkan berjumpa dengan Dato Ketua Pengarah Jakim, saya telah memberikan cadangan kepada beliau untuk pihak penerbitan Jakim dapat membuat temuramah dengan orang lama seperti Tan Sri Sheikh Ghazali, dan rekodkan semua pengalaman beliau sepanjang memartabatkan kedudukan undang-undang Islam di negara kita, dan seterusnya dicoretkan di dalam sebuah buku untuk dijadikan rujukan dan iktibar oleh kita-kita yang terkemudian ini.

Jika diikutkan, banyak draf undang-undang berkaitan perundangan Islam telah dikaji dan disiapkan oleh team Tan Sri, Allahyarham dan lain-lain, termasuk usaha melobi negeri-negeri agar bersetuju dengan undang-undang yang ingin digubal. Namun akhirnya usaha mereka terperap begitu sahaja kerana tiada political will oleh kerajaan terdahulu dan akibat desakan hantu-hantu dalam Barisan mereka sendiri.

Kini, Tan Sri sendiri menyatakan, dengan melihat betapa bersungguh-sungguhnya kerajaan hari ini dengan political will yang ada, khususnya Menteri Agama Dato Seri Dr Mujahid untuk membentangkan satu demi satu Akta melibatkan perundangan Syariah di Parlimen, maka para ahli jawatankuasa perlu ambil kesempatan ini untuk terus bergerak laju memperhalusi undang-undang yang baru mahupun menambah baik undang-undang yang sedia ada.


Hari ini baru selesai 4 hari bermesyuarat, Tan Sri dah ajak mesyuarat lagi minggu depan!

Pakat-pakat genyih tengok kiri kanan, sambil tengok diari, pastu respon “Ok Tan Sri!!!”


Noorazmir Zakaria
Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil