Sokong di Parlimen bukan bentuk kerajaan baru



Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad mahu sokongan dan kesediaan UMNO dan PAS untuk bekerjasama dengannya, diterjemahkan ketika di Parlimen.

Dengan nada berseloroh, beliau berkata, sokongan mana-mana pihak membuatnya seperti 'melayang-layang' (floating).

Katanya, beliau memberitahu pemimpin kedua-dua parti itu bahawa mereka boleh menyokongnya.

"Namun (sokongan) di Parlimen...ketika kita melakukan sesuatu yang baik, saya rasa mereka seharusnya menyokong. Bukan hanya menolak dengan membuta tuli," katanya apabila diminta mengulas mengenai kesediaan UMNO dan PAS yang dikatakan mahu membentuk bekerjasama dengan parti pimpinannya.

Isu kerjasama UMNO dan PAS dengan Dr Mahathir timbul selepas pendedahan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Adam, mengenai apa yang dikatakan perancangan parti itu untuk bekerjasama dalam membentuk satu pakatan baharu.

Rancangan itu didakwa disuarakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika berucap merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional UMNO, kelmarin.

BH hari ini melaporkan, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata perkhabaran yang sedang berlegar bahawa UMNO akan dilamar untuk bersama-sama mengukuhkan kepentingan politik Melayu, perlu dibincang dan dibahas secara mendalam dan jujur.

Katanya, apa jua ‘lamaran’ untuk UMNO menunjukkan parti ini didambakan semula dan menjadi terus berpengaruh.