Rosmah Call Saya Arah Luluskan Projek Solar - Bekas Menteri Pendidikan


Bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau tidak ragu-ragu bahawa Rosmah Mansor membantu Jepak Holding Sdn Bhd untuk mendapatkan projek tenaga solar.

Semasa pemeriksaan utama hari ini, beliau berkata, dirinya dihubungi oleh Rosmah pada 22 Disember 2016 mengenai perkara itu. Katanya, beliau diarahkan untuk tidak melengahkan urusan projek solar hibrid itu dan mengikut arahan minit oleh Najib Razak.

“Saya ingat lagi apabila menjawab panggilan berkenaan, Rosmah memberitahu saya bahawa beliau hanya menolong Cikgu Aazmey dalam projek solar hibrid.

"Dia kata dia tidak kenal Rayyan Radzwill Abdullah. Dia beritahu saya untuk mematuhi arahan Najib (Razak).

"Saya cuma jawab 'ya, ya, Datin Seri'. Saya tidak ragu-ragu bahawa Rosmah membantu Jepak," kata Mahdzir.

Rayyan adalah rakan kongsi kepada Saidi Abang Samsudin, pengarah urusan Jepak. "Cikgu Aazmey" dipercayai merujuk kepada Ahmad Aazmey Abu Talib, setiausaha Umno Pekan.

Kontrak berkenaan membabitkan Jepak membekalkan kuasa solar kepada 369 buah sekolah di Sarawak. Ia bernilai RM1.25 bilion.

Mahdzir juga memberi keterangan bahawa beliau meminda surat anugerah kepada Jepak selepas dilobi oleh pembantu Rosmah, Rizal Mansor.

Dalam keterangannya, beliau berkata pada bulan November 2016, Saidi dan Rayyan menghubunginya kerana mereka tidak berpuas hati dengan surat asal anugerah itu, yang mengandungi peruntukan bahawa Kementerian Pendidikan boleh membatalkan kerja-kerja Jepak bagi sekolah-sekolah yang telah disambungkan kepada talian kuasa grid.

Pada satu ketika, kata Mahdzir, sama ada Saidi atau Rayyan mengancam untuk membawa bantahan mereka kepada Najib dan memanggil Rizal.

"Mereka serah telefon kepada saya, Rizal memperkenalkan dirinya, saya kenali suara itu. Dia lebih kurang memberitahu saya untuk membuang peruntukan itu dan tidak merumitkan perkara.

"Rizal berkata mem tahu tentang perkara ini. Saya tahu dia bercakap mengenai Rosmah," kata Mahdzir.

Rosmah, 68, didakwa meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pembantu Rosmah iaitu Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah dituduh melakukan perbuatan itu di tiga tempat berasingan iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di Kuala Lumpur, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di Kuala Lumpur dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 September, 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.