RM75 JUTA DIBERI SUPAYA MENAIKTARAF PRASARANA INSTITUSI TAHFIZ DAN PONDOK BERDAFTAR


Kerajaan hari ini menyerahkan peruntukan sebanyak RM75 juta kepada sekolah pondok berdaftar dan institusi tahfiz bagi memperkasa serta memperkukuh institusi pendidikan agama terbabit ke arah lebih cemerlang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, peruntukan daripada belanjawan 2019 dengan jumlah RM25 juta kepada tahfiz dan RM50 juta kepada sekolah pondok itu diagihkan sebagai komitmen kerajaan memastikan pembangunan institusi pondok dan tahfiz terus lestari dan diberi perhatian sepenuhnya.

Menurutnya, peruntukan yang memberi manfaat kepada 617 institusi tahfiz dan 130 pondok berdaftar itu boleh digunakan untuk tujuan yang ditetapkan seperti pendidikan, keselamatan, kesihatan serta kebersihan.

"Sebagai institusi yang memainkan peranan penting dalam melahirkan modal insan terpuji, kerajaan sangat komited dalam memastikan pembangunannya terus lestari selari dengan situasi semasa permintaan masyarakat terhadap institusi tersebut.

"Peruntukan ini diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya mengikut tujuan ditetapkan termasuk menaik taraf kemudahan prasarana agar kedua-dua institusi itu tidak terus diberi persepsi negatif," katanya semasa berucap pada majlis penyerahan peruntukan tersebut di sini hari ini.

Mujahid berkata, komitmen kerajaan terhadap pembangunan institusi pondok dan tahfiz adalah satu agenda berterusan apabila kerajaan melalui Belanjawan 2020 mengumumkan peruntukan dalam jumlah yang sama bagi kedua-dua institusi itu tahun hadapan. - Bernama

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/62268/BERITA/Nasional/Kerajaan-serah-peruntukan-RM75-juta-kepada-sekolah-pondok-tahfiz