Pentadbiran Najib Setuju Bayar Perbadanan Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) AS$5.78 bilion ?


Berlian merah jambu, kapal layar mewah Equanimity dan perincian aliran wang yang didakwa mempunyai kaitan dengan dana 1MDB, timbul sejak skandal itu mula mengisi tajuk berita lima tahun lalu.

Kini, dengan kes perbicaraan jenayah berhubung skandal itu yang sedang dihadapi oleh bekas perdana menteri Najib Razak, orang awam mengikuti hampir setiap hari perkembangan skandal itu yang didedahkan saksi-saksi yang tampil di mahkamah.

Bagaimanapun, sehingga kini, ada satu perkara yang masih tidak jelas.

Kenapa pentadbiran Najib bersetuju pada 2017 untuk membayar Perbadanan Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) AS$5.78 bilion (RM24 bilion)?

Butiran mengenai urusan penyelesaian ini menjadi rahsia kerana ia dilakukan di London melalui timbang tara, iaitu pendekatan yang mirip dengan penyelesaian luar mahkamah secara sulit.

Selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14, pentadbiran PH mempertikai di mahkamah berhubung urusan berkenaan, mendakwa ia merupakan cubaan untuk menutup penipuan.

Minggu lepas, Mahkamah Rayuan UK memutuskan bahawa saman itu boleh diteruskan di Mahkamah Tinggi London.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini, Toby Landau, peguam yang mewakili kerajaan PH berhubung saman berkenaan, berkata keputusan Mahkamah Rayuan akan membolehkan butiran penyelesaian IPIC didengar di mahkamah untuk kali pertama dan mungkin oleh orang ramai.

"Kes ini penting kerana ia adalah bahagian utama dalam skandal 1MDB.

"[...] Ia adalah kelompongan utama dalam kisah (1MDB) ini yang mungkin terus menjadi kelompongan jika ia dibiarkan dalam timbang tara rahsia tidak pernah didedahkan kepada umum.

"Dan sekarang (dengan) prospek bahawa ia akan didedahkan, ia akan melengkapkan keseluruhan kisah (1MDB). Jika ini berlaku, dan orang awam dapat tahu, maka ia sangat penting dalam menceritakan kisah ini secara global [...], " katanya ketika ditemui di Singapura awal minggu ini.

Pada 2015, IPIC telah menawarkan untuk memberi pinjaman kepada 1MDB sebanyak AS$1 bilion (RM4.1 bilion) dan mengambil tanggungjawab untuk pembayaran kupon bagi bon berjumlah AS$3.5 bilion (RM16 bilion) yang dikeluarkan oleh 1MDB.

IPIC juga melupuskan sejumlah hutang 1MDB yang jumlahnya tidak didedahkan sebagai pertukaran aset yang tidak dikenal pasti.

Bagaimanapun, perjanjian itu gagal dengan IPIC mendakwa bahawa beberapa bayaran tidak dipenuhi.

Kedua-dua pihak kemudian memasuki timbang tara untuk mencapai penyelesaian, dengan 1MDB dikehendaki membayar IPIC sebanyak AS$1.2 bilion (RM5 bilion) dan menanggung bon bernilai AS$3.5 bilion (RM15 bilion) yang dijamin IPIC sebelum ini.

Bersama dengan kadar kupon, ini bermakna 1MDB perlu membayar firma pelaburan Abu Dhabi itu sebanyak AS$5.78 bilion (RM24 bilion) secara keseluruhan.

Ia meskipun 1MDB mendakwa telah membayar AS$3.51 bilion (RM15 bilion) yang berasingan kepada anak syarikat IPIC, Aabar Investments PJS.

Jabatan Kehakiman AS (DOJ) mendedahkan dalam saman pelucutan harta bahawa pembayaran berasingan ini sebenarnya dibuat kepada Aabar Investments PJS Ltd - sebuah syarikat cengkerang (shell company) yang mempunyai nama yang serupa tetapi berpusat di British Virgin Islands.

Pegawai IPIC didakwa bersubahat, dan wang itu dikatakan disalurkan kepada ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low), Najib dan rakan-rakan mereka.

Kesan kepada siasatan di luar UK

Selain Malaysia dan UK, skandal 1MDB juga membawa kepada siasatan di Australia, Hong Kong, Luxembourg, Seychelles, Singapura, Switzerland, Thailand, UAE, dan AS.

Landau menyatakan bahawa keputusan mahkamah berhubung urusan penyelesaian antara 1MDB dan IPIC itu boleh memberi kesan kepada kes-kes berkaitan 1MDB di luar UK.

Ini kerana, katanya, bukti yang didengar di mahkamah UK boleh digunakan dalam bidang kuasa lain berikutan kelulusan permohonan kebenaran.

"Sekarang terdapat banyak prospek bukti yang terdapat dalam prosiding di UK yang mungkin relevan, dan ia mungkin digunakan dalam kes berkaitan dalam bidang kuasa lain," katanya.

"Sesiapa sahaja yang membicarakan kes ini, dalam mana-mana bidang kuasa, perlu memahami sepenuhnya apa yang berlaku dan komponen penting ini bukan sebahagian daripada proses umum sebelum ini," tambah Landau.

Sumber : https://www.malaysiakini.com/news/502508