PCM lebih layak dari MCA dalam Muafakat Nasional Gesa Pas

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nasrudin Hassan mencadangkan agar MCA digantikan dengan Parti Cinta Malaysia (PCM) sebagai rakan Muafakat Nasional.

Nasrudin berkata demikian ketika beberapa pihak termasuk MCA mengkritik tindakan polis mendapatkan injunksi mahkamah bagi menghalang kongres membantah Jawi yang dianjurkan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

"Jika MCA tak selesa dengan Muafakat Nasional atau MCA nak jadi rasis macam DAP, Muafakat (Nasional) boleh cari alternatif lain.

"Saya cadang PCM ganti MCA," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Dong Zong yang tidak setuju dengan pengenalan tiga muka surat pelajaran Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Darjah Empat telah bersetuju untuk membatalkan kongres berkenaan susulan injunksi mahkamah berkenaan.

Semalam, Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon mempertikaikan tindakan polis menghalang kongres Dong Zong.

Cong turut membandingkannya dengan kongres Maruah Melayu yang diadakan pada Oktober lalu.

"Kerajaan boleh menganjurkan Kongres Maruah Melayu, tapi persatuan Cina tak boleh mengadakan perjumpaan tertutup?

"Bukankan orang Cina juga mempunyai hak untuk berhimpun? Adakah menteri Cina sedang bercuti sekarang? Mereka semua senyap dan tidak berani bersuara?" katanya.

Muafakat Nasional adalah pakatan politik antara Umno dan PAS yang telah dirasmikan pada September lalu.

Susulan itu, PAS mengambil pendekatan mesra dengan rakan sekutu Umno dalam BN, iaitu MCA dan MIC. PAS turut berkempen untuk calon MCA pada pilihan raya kecil Tanjung Piai baru-baru ini.

Untuk rekod, PCM ditubuhkan pada 2009 dan dianggotai oleh bekas naib presiden Gerakan Huan Cheng Guan. Parti itu menjadi "ahli gabungan" BN pada April 2019.

Sumber : https://m.malaysiakini.com/news/505136#.XgbfbQMLL7c.whatsapp