SUKU KETIGA 2019, 87000 AKAUN SIMPANAN BAHARU TELAH DIBUKA



Lembaga Tabung Haji (TH) mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM500 juta bagi suku ketiga tahun ini, menjadikan keuntungan bagi tempoh sembilan bulan pertama meningkat kepada RM1.3 bilion.

Dalam satu kenyataan hari ini, TH berkata, pencapaian positif yang direkodkan itu dipacu menerusi langkah berterusan penjimatan kos pengurusan dan pentadbiran.

TH turut merekodkan pendapatan berjumlah RM900 juta pada suku yang sama, menjadikan pendapatan bagi tempoh sembilan bulan pertama 2019 melonjak kepada RM2.1 bilion.

Prestasi pendapatan itu dijana terutama daripada pelaburan aset pendapatan tetap (RM1.1 bilion), pelaburan hartanah (RM400 juta), pelaburan ekuiti (RM300 juta) serta pelaburan instrumen pasaran wangIslam (RM300 juta), menurutnya.

TH berkata, pada 30 September 2019 kedudukan kewangan institusi ini kekal kukuh dengan jumlah aset melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM2.3 bilion dengan RM73.4 bilion adalah jumlah aset manakala liabiliti sebanyak RM71.1 bilion.

“Lebihan aset tersebut didokong oleh rizab penyamaan hibah berjumlah RM400 juta dan keuntungan terkumpul berjumlah RM2.0 bilion yang boleh diagihkan,” menurut TH.

TH berkata, perubahan strategi pelaburan kepada aset pelaburan yang lebih stabil berjaya mengurangkan tekanan daripada keadaan pasaran ekuiti yang tidak menentu akibat ketegangan perang perdagangan di peringkat global.

“Kepercayaan dan sokongan para pendeposit kepada TH sebagai sebuah institusi yang membantu umat Islam menyimpan dan melaksanakan ibadah haji kekal utuh dengan jumlah simpanan pendeposit berada pada paras RM70 bilion pada 30 September 2019.

“Sepanjang tiga bulan dalam suku ketiga 2019, lebih 87,000 akaun simpanan baharu telah dibuka, seterusnya meningkatkan jumlah keseluruhan pendeposit TH kepada 9.43 juta,” katanya. – Bernama

Sumber : https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2019/11/632922/tabung-haji-catat-untung-bersih-rm500-juta-suku-ketiga