Rancangan terbaik Pembangunan Semula Kampong Bharu


Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad komited untuk memajukan Kampong Bharu. Rancangannya adalah terbaik pernah dikemukakan oleh seorang Menteri Wilayah Persekutuan. Tentulah kejayaan rancangannya itu bergantung pada kerjasama semua pihak yang terlibat terutamanya pemilik-pemilik tanah di Kampong Bharu. Apabila berjaya kelak, ia bukan saja menjadi kejayaan Khalid dan kementerian tetapi lebih penting lagi ialah pemilik tanah kampong itu.

Perlu diingat, Khalid baru menjadi menteri setahun lebih. Menteri-menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini sudah bertahun-tahun lamanya menyandang jawatan ini. Pakatan Harapan juga baru setahun lebih menjadi kerajaan persekutuan. Parti Amanah Negara yang menjadi anggota PH adalah juga baru setahun lebih berada dalam kerajaan persekutuan. Sedangkan Barisan Nasional menjadi kerajaan persekutuan dari tahun 1974 hingga 2018. UMNO pula telah memimpin kerajaan persekutuan sejak dari tahun 1957 hingga 2018.

Kampong Bharu dalam sejarahnya mempunyai kawasan Dewan Undangan Negerinya sendiri ketika berada dalam Selangor dari tahun 1959 hingga tahun 1974. Ia sentiasa diwakili oleh UMNO yang berada dalam Perikatan. Bagi peringkat Parlimen ketika itu, ia terletak di kawasan Bukit Bintang yang diwakili oleh Perikatan melalui MCA. Tetapi dalam pilihan raya 1969, wakil Gerakan memenangi kawasan itu, yang kemudiannya melompat ke Pekemas apabila Gerakan menyertai BN.

Setelah Wilayah Persekutuan ditubuhkan, Kampong Bharu berada di kawasan Parlimen Setapak yang dimenangi oleh BN yang diwakili oleh UMNO. Apabila Setapak dipecahkan menjadi Batu dan Titiwangsa, Kampong Bharu berada dalam Titiwangsa yang sentiasa diwakili oleh BN melalui UMNO sehinggalah pada tahun 2008. Iaitu apabila kerusi itu dimenangi PAS yang merupakan sebahagian daripada Barisan Alternatif yang kemudiannya menjadi Pakatan Rakyat. Titiwangsa dimenangi semula oleh UMNO-BN dalam pilihan raya 2013. Tetapi dalam pilihan raya 2018, ia dimenangi oleh Bersatu-PH.

Kini, pihak pembangkang di Titiwangsa ialah UMNO dan PAS. Maka tidak hairan mereka berusaha mencari isu untuk menentang PH termasuklah berkaitan dengan rancangan mengenai Kampong Bharu ini.

Khalid mula bertanding pilihan raya pada tahun 1986 di Kuala Krai, Kelantan diikuti dengan 1990 di Arau, Perlis, Sri Gading, Johor pada 1999 dan Shah Alam, Selangor pada 2004. Semua usahanya itu gagal dan hanya berjaya pada tahun 2008, 2013 dan 2018 di Shah Alam.

Dalam pertandingan itu, beliau adalah calon PAS hinggalah pada tahun 2018, apabila beliau merupakan wakil Amanah-PH. Pada tahun 1986, PAS menubuhkan Harakah Keadilan Rakyat yang turut disertai oleh Parti Rakyat Malaysia. Pada tahun 1990, PAS menyertai Angkatan Perpaduan Ummah bersama Parti Semangat 46. Sementara pada tahun 1999, 2004 dan 2008, PAS menyertai Barisan Alternatif bersama Keadilan. Pada 2013, PAS adalah bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Ternyata Khalid berpengalaman luas dalam politik yang berlandaskan prinsip sejak beliau menjadi mahasiswa dan aktivis dalam gerakan Islam. Penyertaan beliau dalam pilihan raya di Kelantan, Perlis, Johor dan akhirnya Selangor menjadikan beliau tokoh politik versatil di peringkat federal. Selemahmudpas lebih setahun sebagai menteri, ternyata beliau menghadapinya dengan berlandaskan prinsip perjuangannya.

Kampong Bharu adalah salah satu daripada usaha beliau untuk menyempurnakan rancangan lama yang tidak dapat dilaksanakan. Dua lagi rancangan besar adalah mengenai pengangkutan awam Putrajaya dan infrastruktur Labuan. Kejayaan rancangan ini adalah juga bergantung pada sokongan daripada rakyat dan juga jentera pelaksana. Peluang untuk menjayakannya adalah terbuka kepada rakyat sendiri yang akhirnya akan memperoleh manfaat pada peringkat persekutuan keseluruhannya.

Zin Mahmud