Semakin ramai mula beralih pada myFreeview - Tinjauan

 
Selepas 56 tahun menikmati siaran analog televisyen, rakyat Malaysia kini sudah mula memanfaatkan dan menyesuaikan diri dengan peralihan kepada siaran TV Digital myFreeview sekaligus menyertai negara-negara maju lain.

Tinjauan Bernama mendapati, masyarakat sama ada di bandar atau luar bandar di beberapa negeri, sudah beralih kepada digital ini, selari dengan peredaran semasa yang lebih memberi keselesaan dalam menggunakan siaran secara percuma tersebut.

Di Kelantan, tinjauan mendapati orang ramai berpuas hati dengan mutu siaran malahan ada yang menyifatkan ia sebagai setanding dengan siaran TV berbayar.

“Saya suka sangat (siaran TV Digital myFreeview), sebelum ini kita perlu bayar untuk mendapatkan kualiti siaran digital tetapi sekarang siaran digital yang sama boleh ditonton secara percuma.

“Lebih menggembirakan lagi, bila hujan tiada gangguan pada siaran dan kita boleh terus menonton dengan selesa,” kata Nor Sharpini Din, 37, seorang suri rumah ketika ditemui di Tumpat, hari ini.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata peralihan kepada siaran TV Digital myFreeview daripada siaran televisyen analog berjalan lancar dan kesemua aduan pengguna dapat diselesaikan.

Peralihan siaran TV analog ke TV Digital myFreeview akan bermula di wilayah Tengah dan Selatan pada 30 Sept, wilayah Utara dan Timur pada 14 Okt, manakala Sabah dan Sarawak pada 31 Okt.

Sementara itu, pemilik sebuah kedai makan di Kuantan, Pahang, Sabariah Hassan, 52, berkata melalui dekoder myFreeview, beliau boleh menyiarkan pelbagai program kepada pelanggan yang berkunjung ke kedainya.

“myFreeview menawarkan banyak saluran dengan kualiti gambar yang baik. Pelanggan saya memberikan maklum balas yang baik terutama apabila saya membuka siaran berita dan program drama,” katanya.

Sementara itu, seorang penjawat awam di Perak, Saiful Safri Ahmad Fauzi, 36 berkata kerajaan perlu memperhebatkan hebahan mengenai peralihan itu kerana masih ramai yang tidak mengetahuinya.

Katanya, masih ramai tidak mengetahui siaran digital itu juga menyediakan program-program terbaik penyiar TV percuma.

“Ini sekaligus dapat menjimatkan perbelanjaan bulanan saya kerana tidak perlu membayar siaran televisyen yang lebih mahal,” katanya.

Di Shah Alam, seorang penjawat awam, Azurun Salamon, 35, mencadangkan agar kualiti siaran TV Digital myFreeview ditambah baik kerana ada siaran yang kurang jelas dan mengalami gangguan.

"Saluran RTM boleh dilihat tetapi kurang jelas, manakala saluran seperti TV3 dan AlHijrah agak jelas dan terang. Ada beberapa lagi saluran lain kadang-kadang ok, kadang-kadang kurang jelas," katanya yang telah beralih ke siaran televisyen digital itu sejak awal tahun lepas.

Beliau percaya perkara itu boleh diperbaiki berikutan perlaksanakan siaran digital itu masih di peringkat awal.

Dilapor, menerusi siaran TV Digital myFreeview, penonton boleh menikmati pelbagai saluran TV, radio, dan aplikasi baharu seperti membeli-belah dalam talian, pembelajaran interaktif melalui 15 saluran televisyen termasuk TV1, TV2, TV3, NTV7, 8TV, TV9, TV Al Hijrah, dan Bernama News Channel dan enam siaran radio.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan agar rakyat negara ini membeli dekoder yang disahkan MCMC atau SIRIM Bhd bagi memastikan  siaran televisyen TV Digital myFreeview yang diterima berkualiti.

Menurut MCMC, kualiti penerimaan siaran TV Digital myFreeview akan terjejas sekiranya pengguna menggunakan dekoder dan antena tiruan yang dijual di pasaran serta penggunaan kabel yang salah.

Bagi mendapatkan bantuan lanjut, MCMC menasihatkan pengguna agar menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan MYTV di talian 1800-18-1088 bermula 8.00 pagi sehingga 10 malam setiap hari, termasuk cuti umum.

Era pendigitalan dalam landskap penyiaran ini akan menandakan berakhirnya siaran televisyen analog yang ditawarkan secara percuma di Malaysia sejak 1963.

Singapura menjadi negara pertama di Asia Tenggara memansuhkan siaran analog serta memfokuskan kepada digital sepenuhnya pada 2017 diikuti dengan Brunei.

BERNAMA