RM13.9 bilion bayar hutang 1MDB dan SRC International sejak 2017 - Lim


Kerajaan terpaksa membelanjakan sebanyak RM13.9 bilion untuk melunaskan bayaran khidmat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) sejak 2017, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata kerajaan menerusi Kementerian Kewangan dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) telah membuat pembayaran balik hutang sebanyak RM8.8 bilion bagi pihak 1MDB dan SRC iaitu sebanyak RM6.7 bilion untuk 2017 dan pada 2018 (RM2.1 bilion).

Lim berkata pada tahun 2019, sebanyak RM2.4 bilion perlu dibayar untuk bayaran-bayaran tahun ini dan menurutnya selain daripada menggunakan dana awam, bayaran-bayaran ini juga bergantung kepada dana pemulihan aset 1MDB sebanyak kira-kira RM1.45 bilion setakat ini yang berjaya dikembalikan, serta kutipan derma orang ramai kepada Tabung Harapan Malaysia sebanyak RM203 juta.

"Seperti yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2020 baru-baru ini, sejumlah RM2.7 bilion turut disediakan untuk 2020 bagi melunaskan bayaran khidmat hutang 1MDB dan SRC," katanya.

Menurut Lim, pembayaran balik hutang-hutang 1MDB dan SRC tersebut telah disembunyikan oleh kerajaan terdahulu dan hanya didedahkan selepas kerajaan Persekutuan bertukar pada 9 Mei 2018.

"Jelas sekali, pembayaran balik kerajaan untuk membiayai kerugian akibat skandal 1MDB dan SRC adalah sebahagian daripada skim penyelewengan kewangan dan salahlaku 'kleptokrasi' kerajaan terdahulu," katanya.

Menurut beliau, skandal kewangan dan penyelewengan oleh kerajaan terdahulu sama ada berkaitan dengan 1MDB atau yang bukan 1MDB dianggarkan membabitkan kira-kira RM150 bilion dengan kes 1MDB sahaja melibatkan jumlah sebanyak RM51 bilion termasuk faedah yang hanya akan dilangsaikan sepenuhnya pada tahun 2039.

"Bayangkan betapa besar impak jumlah RM13.9 bilion, yang perlu dibelanjakan sejak 2017 hingga 2020 untuk membiayai kerugian skandal 1MDB dan SRC, sekiranya ia dapat digunakan untuk kebajikan rakyat. Bagaimanapun, kerajaan ini akan tetap komited untuk menunaikan amanah menjalankan pembangunan dan kebajikan rakyat," katanya.

BERNAMA