Peruntukan RM7 juta untuk Tanjung Piai bukan raih undi - Mahathir


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan peruntukan berjumlah RM7 juta yang diberikan oleh kerajaan untuk kawasan Tanjung Piai adalah bagi meraih sokongan pengundi kawasan itu.

Dr Mahathir menegaskan kerajaan hanya menjalankan tugas seperti biasa dan pemberian peruntukan itu secara kebetulan hampir dengan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

"Semasa kita beri peruntukan ini secara kebetulan ada pilihan raya di situ," katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Ditanya mengapa peruntukan itu tidak diumumkan selepas PRK, Dr Mahathir berkata memang kebiasaannya ada perancangan untuk kawasan-kawasan tertentu.

"Kalau kita dah umum dan sedang ada kempen, itu tidak baik kalau tawarkan apa-apa bantuan tetapi pada kebiasaannya, memang ada rancangan tapi sebolehnya kita (kerajaan) tidak gunakan rancangan ini sebagai umpan untuk menarik sokongan,"  katanya.

Sebelum ini Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan peruntukan RM4 juta untuk projek naik taraf kemudahan sukan dan rekreasi di Tanjung Piai, manakala Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub turut memperuntukkan RM3 juta bagi projek naik taraf tiga jeti nelayan dalam Parlimen Tanjung Piai.

Sementara itu Dr Mahathir berkata penasihat media dan komunikasi Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin bebas untuk mengkritik kerajaan.

"Boleh dia (A. Kadir) nak hentam kerajaan, kita bagi...orang kita dalam Parlimen pun dia hentam juga, kerajaan kalau kita buat tak betul hentamlah," katanya.

Dalam catatan di laman Facebooknya, A. Kadir berkata: "17 bulan sudah berlalu. Masa menasihat sudah tamat. Sekarang hantam sajalah".

Mengulas tentang isu ketidakhadiran ramai ahli parlimen kerajaan semasa persidangan Dewan Rakyat kali ini, Dr Mahathir berkata kabinet telah mengeluarkan amaran supaya ahli parlimen kerajaan menghadirinya.

Katanya, ada antara menteri kabinet tidak dapat hadir pada persidangan itu kerana berkemungkinan bertugas di luar negara memandangkan terdapat banyak mesyuarat antarabangsa yang perlu dihadiri pada masa ini.

"Bagi ahli biasa, mereka kadang-kadang ada masalah lain, kadang-kadang mereka tiada dalam dewan tetapi ada dalam bangunan ini (parlimen), jadi mereka boleh dipanggil menerusi bunyi loceng," katanya.

Ditanya sama ada ia merupakan masalah disiplin dalam kalangan ahli parlimen kerajaan, Dr Mahathir berkata : "Ini berlaku pada mana-mana kerajaan. Saya pergi sekali di kongres Amerika (Syarikat) saya dapati orang tu cakap seorang je, cuma ada dua orang lain dalam tu tetapi mereka tak bangkit soal korum, soal korum ni bangkit kadang-kadang pasal politik".

BERNAMA