PDRM patahkan 25 serangan pengganas sejak 2013


Polis mematahkan 25 rancangan serangan pengganas di negara ini sejak 2013, antaranya serangan berskala besar ke atas tempat ibadat Kristian, Hindu dan Buddha serta pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata berikutan itu 74 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan keganasan termasuk merancang serangan keganasan dan mengumpul dana bagi serangan.

Antara rancangan serangan terbesar ialah pengganas Daesh Wolf Pack di kuil Sri Maha Mariaman USJ, katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata kejayaan mematahkan serangan yang dirancang oleh pengganas itu adalah hasil risikan polis dan perkongsian maklumat yang diterima daripada pelbagai pihak.

“Kami berjaya menggagalkan percubaan serangan kumpulan Daesh sejak 2013 kerana kita mempunyai undang-undang yang kukuh.

Ayob Khan berkata undang-undang berkaitan pencegahan memainkan peranan penting dalam usaha membendung kegiatan keganasan dan setiap negara, tidak terkecuali Malaysia, mempunyai undang-undang khusus bagi menangani keganasan atau pencegahan.

“Pihak berkuasa berdepan dengan ancaman yang berbeza jika dibanding dahulu hingga kini, oleh itu undang-undang pencegahan perlu ada.

“Kalau kita tiada undang-undang pencegahan kami sukar untuk ambil tindakan awal...tindakan pencegahan untuk memastikan kumpulan pengganas ini tidak melakukan serangan,” katanya.

Sementara itu, Ayob Khan berkata pada masa ini terdapat 65 rakyat Malaysia yang yang mempunyai kaitan dengan Daesh berada di Syria.

Beliau berkata mereka yang terdiri daripada 40 wanita dan kanak-kanak telah menyatakan hasrat untuk pulang ke Malaysia dan PDRM kini dalam proses perbincangan melibatkan beberapa agensi lain seperti Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Dalam Negeri serta agensi di luar negara untuk menguruskan perkara itu.

“Bagaimanapun, semua itu bergantung kepada keputusan kerajaan sama ada membenarkan mereka ini pulang atau tidak kerana perkara ini dipertimbangkan melalui pelbagai aspek seperti kos penghantaran dan sebagainya,” katanya yang secara peribadi merasakan mereka perlu dibawa pulang kerana apa pun yang dilakukan, mereka adalah rakyat Malaysia dan Malaysia sebuah negara yang bertanggungjawab.

“Mereka mungkin buat salah, kami akui. Tapi kami boleh mempertimbangkan rayuan mereka dan bagi lelaki dewasa, mereka akan dituduh di mahkamah manakala wanita dewasa, mereka akan dinilai dan kalau cukup bukti akan dituduh juga.

“Kanak-kanak pula akan melalui sesi kaunseling dan deradikalisasi. Keadaan rakyat Malaysia yang ditahan di penjara dan kem pelarian (di luar sana) kini amat kritikal dari pelbagai aspek,” katanya.

BERNAMA