Kita Tidak Dapat Menerima Dan Menolak Sebarang Penglibatan Pihak Tertentu Dengan Keganasan


Semua pihak tidak perlu mengaitkan isu penahanan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dengan penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, ini kerana polis berhak menahan sesiapa sahaja yang didapati terbabit dengan aktiviti keganasan sama ada beragama Islam atau bukan.

“Saya tidak tahu kenapa ia dikaitkan (penahanan ADUN DAP dengan Dr Zakir). Secara umumnya dan dasarnya, siapa saja polis dapati dengan bukti yang kukuh tentang keterlibatannya dalam aktiviti keganasan, kita serahkan saja kepada polis untuk tindakan.

“Dari segi dasarnya, kita tidak dapat menerima dan menolak sebarang penglibatan pihak tertentu dengan keganasan sama ada dia Islam atau bukan Islam,” katanya pada sidang media selepas Majlis Town Hall Maqasih Syariah Peringkat Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang gesaan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy supaya diwujudkan kertas putih mengenai Dr Zakir sekiranya kerajaan mahu mewujudkan kertas putih mengenai LTTE di Malaysia.

Sementara itu, ditanya isu tajuk debat yang menyentuh sensitiviti agama dalam Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 yang dilaporkan diadakan di sebuah sekolah di daerah ini, beliau berkata, jika ia benar, ia langsung tidak sesuai dengan ajaran Islam.

Bagaimanapun beliau berkata, setakat ini, pihaknya masih belum mendapat maklumat lanjut berhubung perkara itu dan perkara itu turut diteliti Kementerian Pendidikan.

"Saya belum mendapat penjelasan lebih lanjut daripada Kementerian Pendidikan, benar atau atau tidak adanya tajuk itu untuk didebat kerana kalau ada, sudah tentu mana boleh homoseksual diterima oleh Islam.

"Itu tajuk yang langsung tidak masuk 'line'. Daripada banyak-banyak tajuk, kenapa tajuk itu yang dipilih tapi itu saya tidak akan buat apa-apa komen sehingga Menteri Pendidikan (Dr Maszlee Malik) sendiri yang akan teliti perkara terbabit," katanya.

Sinar Harian melaporkan, Presiden Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menggesa Kementerian Pendidikan mengambil tindakan terhadap penganjur Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 dengan kadar segera sebagai satu bentuk pengajaran kerana tidak menjaga sensitiviti beragama di Malaysia.

Sumber  : https://www.sinarharian.com.my/article/52233/BERITA/Nasional/Jangan-kaitkan-penahanan-ADUN-DAP-dengan-Zakir-Naik