Kertas dasar Rahmatan Lil Alamin sudah siap - Mujahid


Kertas dasar mengenai Rahmatan Lil Alamin sudah siap tetapi belum dibentangkan kepada Kabinet, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri  Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

"Sebelum kertas dasar itu dibentangkan kepada Kabinet, biasanya ia perlu 14 hari untuk kementerian membuat komen. Kita jangka kertas itu akan dibentangkan kepada Kabinet pertengahan bulan ini dan apabila sudah 'endorse' maka ia sudah jadi dasar rasmi," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Terdahulu, beliau menghadiri sesi ‘Dialog Menteri: Rahmatan Lil Alamin’ bersama pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini dan meluangkan masa hampir tiga jam beramah mesra serta menjawab soalan daripada pelajar.

Sementara itu, Mujahid berkata setakat ini beliau telah menyampaikan penerangan mengenai dasar pentadbiran Islam baharu negara Rahmatan Lil Alamin kepada sembilan pusat pengajian tinggi termasuk USIM melalui program jelajah kampus dan maklum balas yang diterima adalah sangat positif.

"Kita berharap untuk mengadakan majlis penerangan ini kepada 10 lagi universiti tahun ini di mana akhirnya kita hendak membentuk Majlis Perundingan Mahasiswa Rahmat (MPMR).

“Kita telah menghubungi Kementerian Pendidikan dan mereka menyokong penubuhan MPMR sebab kita akan membantu membina kepimpinan di kalangan pelajar menerusi idea baharu ini dan kita mengharapkan mereka akan membawa gagasan ini," katanya.

BERNAMA