Kami Menjaga Standard Halal, Kami Periksa Semula Mereka Yang Memperbaharui Sijil Halal - Mujahid



Tiada alasan bagi mana-mana peniaga untuk tidak mendapatkan sijil halal kerana ia boleh didapati dengan mudah secara dalam talian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, para peniaga di peringkat negeri boleh mandaftar perniagaan mereka secara dalam talian, sebelum dibawa ke peringkat persekutuan untuk diproses di peringkat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Jadi isu yang mengatakan ia susah sebenarnya tidak timbul. Sudah tentu kami menjaga standard halal apabila mereka mahu memperbaharui sijil halal, kami kena periksa semula," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian Ummatic Festival 2.0 di Masjid Muhammad Al Fateh di sini malam ini.

Mujahid berkata pihaknya turut melakukan pemantauan secara mengejut dan tersusun dalam rangka bagi menjaga kualiti sesuatu produk selain pelaksanaan program 'Built in System'.

Katanya sistem itu antara lain dilaksanakan dengan melatih pengurus restoran atau syarikat yang memohon sijil halal, mengenai pemahaman dan kaedah penjagaan halal bagi memastikan kualiti halal sesuatu produk.

Ditanya mengenai hasil pemeriksaan yang mendapati masih terdapat produk menyalahgunakan tanda halal yang palsu, Mujahid berkata orang ramai diminta menyalurkan aduan bagi membantu pihak berkuasa, menangani masalah berkenaan.

"Pihak kami ada beberapa pendekatan dalam menangani masalah ini, termasuk melakukan pemeriksaan bersama penguatkuasa di premis, berdasarkan aduan daripada orang ramai.
"Selain itu, kita ada membangunkan satu aplikasi 'Verify Halal' yang boleh dimuat turun dan mengandungi senarai produk yang berdaftar dengan kita," katanya.

Beliau berkata individu yang meragui tanda halal pada sesuatu produk, boleh mendapatkan pengesahan melalui aplikasi berkenaan dengan mudah.

Katanya walaupun penguatkuasaan halal di bawah Akta Perihal Dagangan dalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, namun Jakim sebagai pemegang sijil halal turut memberi bantuan sokongan penguatkuasaan.

Sementara itu, dalam ucapannya beliau berkata kesucian masjid dan surau perlu dipelihara, supaya tiada pihak cuba mengambil kesempatan dengan menyebarkan kebencian atau ideologi, dengan menjadikan program tertentu sebagai alasan.

Katanya beliau akan memohon setiap kerajaan negeri supaya mengambil tindakan tegas, kepada pihak yang menjalankan program berunsurkan parti politik di masjid, susulan banyak aduan jemaah yang diterima menyatakan berasa tidak selesa dengan penceramah tertentu.- BERNAMA