Dana asing kembali ke pasaran tempatan


Dana asing kembali memasuki pasaran ekuiti tempatan bagi tempoh Isnin (14 Oktober) sehingga Khamis lepas ketika kerajaan Britain dan Kesatuan Eropah (EU) bersetuju dengan syarat baharu membabitkan Brexit.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata bagi tempoh itu, aliran masuk bersih asing mencatat RM262.9 juta berbanding aliran keluar dana bersih asing RM332.2 juta pada minggu lepas.

“Peningkatan ketara pound sterling berbanding dolar US yang mencecah paras 1.2895 seakan memaparkan undian keyakinan oleh pasaran tukaran asing.

“Bagaimanapun, pada masa sama pihak Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menyemak semula unjuran pertumbuhan globalnya bagi 2019 dan 2020 masing-masing pada 3.0 peratus dan 3.4 peratus berbanding unjuran awal 3.2 peratus dan 3.5 peratus," katanya kepada Bernama.

Menjelaskan selanjutnya, Afzanizam berkata langkah penambahan sekatan dagangan adalah antara faktor utama yang menyebabkan pihak IMF membuat semakan turun tersebut," katanya.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2019 China juga diturunkan kepada 6.0 peratus daripada 6.2 peratus, sebelum ini.

“Oleh itu, (perkembangan) keadaan masih bercampur-campur pada minggu lepas," katanya.

Bagi kemajuan masa depan, beliau berkata pengumuman perolehan syarikat di Amerika Syarikat ketika ini akan turut menjadi tumpuan ramai.

Selain itu, pengumuman pelbagai siri Indeks Pengurus Pembelian (PMI) di Eropah, Jepun dan AS akan dibuat pada minggu depan.

“Ringkasnya, para pelabur akan kekal berhati-hati berikutan unjuran pertumbuhan global yang lemah," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata Bursa Malaysia dijangka menyaksikan dagangan lebih tinggi pada minggu depan, menjejaki peningkatan momentum ekuiti global dan di tengah-tengah prestasi Wall Street yang kukuh dan kemungkinan persetujuan membabitkan Brexit.

Menurutnya, sentimen juga dijangka kekal positif susulan prestasi Wall Street yang kukuh pada minggu lepas, didorong oleh pendapatan korporat AS yang memberangsangkan dan sejajar sentimen pasaran yang kekal yakin bahawa persetujuan Brexit dapat dicapai pada akhir bulan ini.

BERNAMA