40 rakyat Malaysia yang ditahan di Syria mahu pulang


Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berusaha untuk membawa pulang 40 rakyat Malaysia yang ditahan di Syria dipercayai terlibat dengan aktiviti keganasan yang menyatakan hasrat untuk pulang semula ke negara ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata jumlah itu melibatkan 11 lelaki dewasa dan 29 perempuan dewasa serta kanak-kanak.

"Seramai 40 daripada 65 rakyat Malaysia yang ditahan di Syria telah berhubung dengan pihak kami dan menyatakan hasrat untuk pulang ke Malaysia.

"Kami jangka jumlah rakyat yang ditahan di sana yang ingin pulang ke negara ini akan meningkat dari semasa ke semasa.

"Kami memperoleh maklumat bahawa kem di Syria berada dalam keadaan persekitaran yang kritikal khususnya dari segi makanan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menjadi panel Forum Perdana Sempena Hari Pahlawan anjuran Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) di Masjid Sultan Idris Shah II di sini malam ini.

Turut menjadi ahli panel ialah Imam Besar Masjid Negeri Perak Abd Farid Salleh dan Pengasas yang juga Penasihat Utama YDKMM Dr. Mohd Hizul Azri Md Noor manakala Pengerusi YDKMM Ahmad Umair Zulkefli sebagai moderator.

Ayob Khan berkata pihak polis hanya terlibat pada peringkat awal dalam urusan membawa pulang semua tahanan rakyat Malaysia di Syria dan keputusan mengenainya bergantung kepada kerajaan serta hubungan dengan agensi-agensi luar.

"Mereka kini ditahan di Penjara Al-Hasakah manakala wanita dan kanak-kanak ditahan di kem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR)," katanya.

Pada bulan Oktober tahun lepas, PDRM berjaya membawa pulang seorang wanita Malaysia bersama dua anaknya, seorang lelaki dan seorang perempuan yang terkandas di Syria, selepas suaminya yang juga anggota kumpulan Daesh terbunuh dalam pertempuran.

Beliau berkata lelaki rakyat Malaysia yang dibawa pulang ke negara ini akan dituduh di mahkamah manakala perempuan bergantung kepada tahap pengaruh dan kanak-kanak pula akan melalui program pemulihan.

Bagaimanapun katanya masih ramai rakyat negara ini yang ditahan kerana berhasrat ke Syria malah terkini, ramai yang menjadikan Selatan Filipina sebagai medan baharu bagi menjalankan aktiviti keganasan atas faktor lokasi yang dekat dan mudah bagi mereka untuk keluar dan masuk ke negara ini.

"Kebanyakan mereka berinteraksi menggunakan media sosial," katanya.

Terdahulu, dalam forum itu Ayob Khan berkata tidak mengamalkan ajaran agama Islam yang sebenar adalah antara punca utama terdapat umat Islam terbabit dengan aktiviti keganasan.

Beliau berkata kebanyakkan suspek yang ditangkap berkaitan pengganas di negara ini terpengaruh dengan ideologi dan fahaman yang sesat.

"Kebanyakkan yang terlibat adalah mereka yang terlalu taksub dengan sesuatu ideologi atau tokoh dan menafsirkan Al Quran mengikut kefahaman sendiri.

"Mereka tidak mahu menerima pandangan lain malah tafsiran terlalu mafia sehingga ramai golongan ini terlibat aksi keganasan dan ajaran sesat," katanya.

BERNAMA