TPM zahir rasa dukacita atas kemangkatan Sultan Ismail Petra


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan ucapan takziah di atas kemangkatan Sultan Kelantan ke-28 Sultan Ismail Petra.

"Dengan Penuh Takzim dukacita dimaklumkan kemangkatan KDYMM Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra, pada pukul 8.11 pagi 28 Sept, 2019 di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu," katanya dalam ciapan twitternya sebentar tadi.

Sultan Ismail Petra, ayahanda Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, mangkat di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini pukul 8.11 pagi ini.

Pengumuman kemangkatan Baginda dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Kota Darul Naim, Kota Bharu.

Beliau berkata, jenazah Baginda akan dibawa ke Istana Balai Besar di sini untuk istiadat penghormatan terakhir dan istiadat pemakaman akan dilangsungkan selepas solat Asar di Makam Diraja Langgar di sini. 

Ahmad berkata, sehubungan itu tempoh perkabungan kemangkatan Sultan Ismail Petra akan bermula hari ini.

Beliau juga berkata Ahad dan Isnin ini (esok dan lusa) diumumkan sebagai cuti peristiwa di seluruh  negeri sebagai menghormati kemangkatan Baginda.

BERNAMA