Taman Warisan Melayu pulihara imej Kampung Baru


Sebanyak 11 buah rumah warisan di Kampung Baru bakal dibina semula dan dipulihara melalui Projek Taman Warisan Melayu bagi mengekalkan identiti Melayu di kampung yang berusia hampir 120 tahun dan terletak di tengah kota raya itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kampong Bharu (PKB) Zulkurnain Hassan berkata projek pemuliharaan rumah warisan itu merupakan antara yang terkandung dalam pelan pembangunan semula Kampung Baru yang bakal dibentangkan pada sesi townhall bersama penduduk 21 Sept ini.

Katanya, rumah warisan yang kebanyakannya masih berdindingkan papan kayu dan bercirikan rumah tradisional Selangor, Perak dan Pahang itu tersenarai menerusi penyelidikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu Universiti Teknologi Malaysia.

“Ciri-ciri teras melambangkan perkampungan Melayu akan dikekalkan, rumah terpilih ini akan dikekalkan menerusi proses pemuliharaan supaya imej Melayu dan Kampung Baru tetap ada,” katanya kepada Bernama.

Jelasnya, Taman Warisan Melayu berkeluasan sekitar 10 hektar itu juga akan menempatkan lebih 100 rumah dalam bentuk butik banglo bagi memberi peluang kepada pelancong menikmati suasana perkampungan Melayu.

Zulkurnain berkata taman itu akan menjadi penempatan semula perusahaan makanan terkenal dan  menjadi kebanggaan Kampung Baru yang sinonim dengan gelaran syurga makanan.

Katanya, kawasan terbuka itu juga membolehkan orang ramai menjalankan aktiviti riadah selain menjadi pusat menjalankan aktiviti kesenian dan kebudayaan seperti silat dan permainan gasing.

“Bila duduk (makan dan bersantai) di sini nanti pengunjung boleh menikmati suasana Kampung Baru dalam suasana lebih hijau,” katanya.

Bercerita lanjut, pembangunan semula itu juga akan memastikan penempatan dan hak milik tanah akan kekal menjadi milik orang Melayu, katanya.

“Pemilik sekarang masih akan ada pemilikan di Kampung Baru, cuma bukan dalam bentuk sekarang (lot tanah) sebaliknya mungkin akan diberi dalam bentuk apartmen yang dimajukan di sini atau sebagainya,” katanya.

Zulkurnain berkata kerajaan juga berhasrat menyediakan 45,000 unit rumah termasuk rumah mampu milik dalam menggalakkan orang Melayu untuk tinggal di Kampung Baru yang terletak berdekatan pusat bandar.

“Dalam perancangan, 70 peratus pembangunan semula akan melibatkan kawasan residensi dan 30 peratus komersial,” katanya sambil menambah lebih banyak peluang perniagaan akan disediakan untuk kaum tersebut.

Justeru, katanya, bagi menjayakan pembangunan semula itu, isu pemilikan dan pewarisan tanah melibatkan lebih 5,000 pemilik tanah berkeluasan lebih 60 hektar dan lebih 800 lot tanah yang menjadi kekangan utama harus ditangani segera.

"Ini isu yang sudah lama berlarutan dan tiada kesudahan sejak PKB ditubuhkan pada 2012 lagi, untuk pemilik tanah mendapat persetujuan bersama ia amatlah sukar.

“Contohnya untuk satu lot tanah jika ada 10 pemilik, jika lapan setuju dan dua lagi tidak setuju pun tidak boleh, mesti persetujuan 100 peratus," katanya sambil menjelaskan kesepakatan itu penting bagi menjalankan pembangunan secara komprehensif.

Zulkurnain menjelaskan pendekatan yang digunakan pentadbiran kerajaan terdahulu dengan memberi peluang untuk pemilik tanah melakukan inisiatif sendiri bagi menjalankan pembangunan dilihat tidak berhasil.

Isu pemilikan dan pewarisan tanah itu juga secara tidak langsung menjejaskan minat pemaju untuk melabur dan menjalankan projek pembangunan memajukan kawasan itu.

“Projek pembangunan semula yang ada pun, dimajukan oleh pemilik tanah Kampong Baru sendiri, contohnya seperti Hotel Tamu dan Plaza RAH.

“(Isu pemilikan tanah) jika dibiarkan lebih lama lagi, keadaan akan jadi lagi rumit dan konflik akan berganda selain keadaan fizikal Kampung Baru juga akan jadi semakin uzur,” katanya.

BERNAMA