Program B2B pertingkat pasaran produk Malaysia di China


Program Sesi Padanan Perniagaan Malaysia-China (B2B) dapat meningkatkan peluang lebih luas untuk syarikat Malaysia meneroka pasaran China, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking.

Beliau berkata, program anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan kerjasama Chinese Construction Bank (CCB) itu juga mampu meningkatkan jaringan kerjasama selain mencapai pasaran lebih luas, termasuk di wilayah Guanxi.

"Semua produk Malaysia ini bukan satu, tetapi pelbagai kategori. Ini termasuk produk yang belum dikenali di Malaysia tapi sebaliknya sudah dikenali di China dan terus mendapat tempahan pengeksport di sini.

"Malah, terdapat beberapa syarikat Malaysia, tidak kira kecil atau besar yang turut dikenali (di sini). Ini memberi keyakinan terutamanya untuk syarikat baharu yang berhasrat menembusi pasaran China," katanya kepada media selepas merasmikan program B2B itu di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Darell menggesa syarikat tempatan mengambil peluang menerusi program itu untuk mempopularkan produk dan perkhidmatan Malaysia di China.

Malah, atas alasan itu, program B2B bersama CCB  itu akan diteruskan oleh MATRADE dari semasa ke semasa, sekali gus memaparkan komitmen kukuh syarikat kedua-dua negara.

Sementara itu pengusaha produk kecantikan dari Malaysia, Chiew Whoi Tan menyambut baik program B2B itu yang disifatkannya memudahkan usaha mendapatkan khidmat pengedar di China berikutan ini kali pertama beliau mencuba untuk memasuki pasaran negara itu.

"Saya mengusahakan produk kecantikan dari Pulau Pinang dan jika mendapat sekurang-kurangnya seorang pengedar di China ini pun sudah memadai," katanya.

Selain itu, peniaga Nanning Shen Wen Zhi berkata beliau memilih produk Malaysia kerana kualitinya yang baik serta harganya yang berpatutan.

Atas alasan itu, beliau sudah bekerjasama dengan pengusaha dari Malaysia selama lima tahun.

"Saya ingin memperbanyakkan lagi produk seperti rempah-ratus dan biskut dari Malaysia yang sememangnya mendapat perhatian pembeli di Nanning,” katanya.

BERNAMA