PKR adakan konvensyen 'Reformasi Dua Dekad' Oktober


PKR akan menjelajah ke setiap negeri dan mengadakan konvensyen bertemakan 'Reformasi Dua Dekad' bermula Oktober ini.

Pengarah Komunikasi PKR Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata konvensyen, yang menyaksikan Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan amanat beliau kepada ahli-ahli parti di setiap negeri, akan disusuli dengan Kongres Nasional PKR pada 6 hingga 8 Dis.

"Jadual konvensyen itu akan diumumkan nanti selepas selesai penyelarasan dengan tarikh persidangan Parlimen dan pembentangan bajet akan datang. Konvensyen itu akan diadakan pada hari Sabtu dan Ahad mengikut negeri yang berkenaan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat biro politik PKR di ibu pejabat parti itu, hari ini.

Antara yang menghadiri mesyuarat dipengerusikan Anwar itu adalah Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden Tian Chua, Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian.

BERNAMA