PH akan bermesyuarat bincang PRK Tanjung Piai - Wan Azizah


Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat berhubung pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor ekoran kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik pada Sabtu lepas, kata Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"PH akan bermesyuarat," kata Dr Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri yang turut melahirkan rasa sedih atas pemergian Dr Md Farid yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dr Wan Azizah ditemui pemberita selepas merasmikan kompleks Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.

Dr Md Farid, 42, meninggal dunia di Hospital Pontian pada Sabtu lepas akibat serangan jantung.  Allahyarham memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan majoriti 524 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memaklumkan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 1 Oktober ini.

BERNAMA