Pesuruhjaya PAS Perlis rebah atas pentas, keadaan stabil


Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli rebah ketika berucap pada Ceramah Perdana Muafakat Nasional peringkat Negeri di Dewan 2020, dan dikejarkan ke Unit Kecemasan, Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, malam tadi.

Bagaimanapun keadaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu dilaporkan stabil,

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis Russele Eizan, dan menurutnya Mohd Shukri telah menjalani imbasan CT Scan oleh doktor yang merawatnya.

Russele turut meminta orang ramai dan rakyat mendoakan kesejahteraan Mohd Shukri.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam tadi, Mohd Shukri sebagai penceramah pertama ketika itu sedang memberi kata-kata aluan memperkenalkan barisan kepimpinan tertinggi UMNO dan PAS, secara tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

Beliau kemudian diberi bantuan pernafasan oleh Unit Medik, Jabatan Amal Malaysia sebelum ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membawanya ke HTF.

Ceramah itu turut dihadiri Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan lebih 2,000 penyokong kedua-dua parti itu.

BERNAMA