Peruntukan ADUN Johor dicadang supaya ditingkatkan kepada RM800,000 setahun


Cadangan peruntukan RM800,000 setahun diberikan kepada wakil rakyat negeri ini antara lima resolusi yang dicapai pada Bengkel Memperkasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor selama dua hari yang berakhir hari ini.

Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat berkata ia sejajar dengan keperluan rakyat yang semakin meningkat, memandangkan peruntukan RM350,000 setahun kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini pada masa kini, tidak mencukupi.

“Wakil rakyat perlu melaksanakan pelbagai aktiviti bersama rakyat dengan lebih kerap. Dicadangkan, peruntukan baharu RM800,000 setahun itu perlu dilaksanakan mulai tahun 2020,” katanya semasa berucap pada majlis penutup bengkel berkenaan yang disempurnakan oleh Menteri  Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal, di sini hari ini.

Suhaizan berkata selain peruntukan, empat resolusi lain adalah berhubung penstrukturan semula institusi DUN Johor, mewujudkan lebih banyak Jawatankuasa Pilihan, meningkatkan mutu perbahasan DUN Johor serta melaksanakan ‘live streaming’ setiap kali DUN Johor bersidang.

Beliau berkata kelima-lima resolusi itu akan diserahkan kepada Dr Sahruddin bagi melakukan penambahbaikan terhadap DUN Johor.

“Usaha menstruktrur institusi DUN Johor adalah perlu supaya ia dapat melaksanakan fungsinya dengan berkesan. Institusi ini berhak merancang, melaksana dan menilai fungsinya dengan sumber kewangan yang mencukupi.

“Fungsi institusi DUN yang lebih besar selepas ini memerlukan kepada Jurutulis khusus menumpukan kepada urusan DUN sahaja dan dipisahkan daripada urusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) seperti amalan sekarang,” katanya.

Menurut Suhaizan, terdapat keperluan untuk mewujudkan lebih banyak Jawatankuasa Pilihan berbanding hanya tiga sahaja ketika ini dan pewujudan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas adalah selari dengan amalan Parlimen di negara luar sejajar dengan Recommended Benchmarks For Democratic Legislatures, Commonwealth Parliamentary Association (CPA).

Katanya bidang baharu Jawatankuasa Pilihan yang berteraskan kepada keperluan rakyat seperti perumahan, pekerjaan, sara hidup, keselamatan dan alam sekitar perlu dikemukakan untuk kelulusan DUN Johor dengan elaun yang munasabah perlu diberikan kepada semua anggota jawatankuasa yang hadir ke mesyuarat.

“Bagi mencapai perbahasan yang dinamik standing dengan negara maju, Peraturan-Peraturan Berbahas dalam Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap, Artikel 45 (ii) “Tidak boleh disampuk” perlu digugurkan. Bagi menjimatkan masa perbahasan pula, tiada keperluan untuk semua ADUN berucap setiap kali bersidang. Speaker akan memilih sebahagian ADUN yang benar-benar bersedia sahaja untuk berbahasa seperti amalan Parlimen Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Sahruddin dalam ucapannya pula berkata pemerkasaan DUN Johor menjadi antara fokus utama kerajaan negeri demi menjamin kelancaran, ketertiban dan kelangsungan perjalanan institusi berkenaan.

Menurutnya, penganjuran bengkel itu juga merupakan inisiatif yang sangat bertepatan dengan usaha kerajaan negeri dalam melaksanakan pembaharuan dan perubahan ke arah lebih baik di dalam sistem pengurusan DUN Johor.

BERNAMA