MITI ada bukti mencukupi teruskan siasatan anti lambakan terhadap Rebar


Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mempunyai bukti mencukupi untuk meneruskan siasatan anti lambakannya terhadap produk batang penulangan konkrit keluli (Rebar) yang diimport dari Singapura dan Turki.

MITI dalam satu kenyataan hari ini berkata penyiasatan awal itu dilakukan di bawah Seksyen 23 Akta Duti Timbal Balas dan Anti Lambakan 1993 (Akta), berikutan petisyen difailkan oleh Persatuan Besi Keluli Malaysia yang mewakili pengeluar tempatan bagi Rebar.

Petisyen itu mendakwa bahawa produk Rebar itu yang berasal atau dieksport dari negara-negara tersebut telah diimport ke Malaysia pada harga lebih rendah daripada harga dijual di pasaran domestik, sekali gus ia memberi kesan kepada industri tempatan.

“Kerajaan juga telah memutuskan untuk mengenakan duti anti lambakan sementara, dalam bentuk jaminan bank bersamaan dengan nilai margin lambakan yang telah dikenal pasti dalam penentuan awal. Duti anti lambakan sementara itu berjumlah daripada sifar kepada 20.09 peratus akan dikenakan ke atas import dagangan subjek dari negara-negara berkenaan dan ia akan berkuat kuasa bagi tempoh tidak melebihi 120 hari, mulai 23 September, 2019,” kata MITI.

Berdasarkan kepada hasil siasatan, penentuan muktamad akan ditentukan tidak lewat daripada 21 Januari, 2020, kata kementerian tersebut.

MITI berkata pihak berkepentingan boleh mendapatkan salinan versi tidak sulit laporan tersebut terhadap penentuan awal dengan mengemukakan permohonan secara bertulis kepada kementerian.

BERNAMA