Melaka mantapkan penyaluran maklumat bekalan air kepada rakyat


Kerajaan Melaka sedang dalam usaha memantapkan kaedah penyaluran maklumat bekalan air bagi memastikan rakyat mendapat informasi terkini dan memahami lebih jelas tentang keadaan bekalan air negeri ini, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau berkata agensi terlibat terutamanya Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka dan Syarikat Bekalan Air Melaka (SAMB) perlu bertindak proaktif serta pantas mengemas kini maklumat tentang kadar air di empangan, kawasan terjejas serta dibantu, dan jumlah lori tangki terlibat.

 Katanya maklumat tersebut perlu disalurkan segera kepada rakyat setiap hari terutama kepada kira-kira 40,000 rakyat yang terjejas akibat gangguan bekalan air dan penyaluran maklumat melalui anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) adalah antara kaedah berkesan bagi usaha tersebut.

"Maklumat daripada agensi terlibat ini akan disalurkan kepada lebih 300 MPKK negeri ini, semua termasuk MPKK ada kumpulan WhatsApp dan media sosial untuk kawasan masing-masing untuk disalurkan secara terus kepada penduduk terlibat.

"Ini semua dimaklumkan secara harian termasuk apa tindakan akan dibuat, kawasan terjejas esok, hari ini sudah tahu (maka) maklumkan cepat, kawasan baharu yang terjejas maklumkan sehari lebih awal," katanya pada sidang media mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Melaka di Ayer Keroh di sini hari ini.

Semalam, beliau dilaporkan sebagai berkata negeri ini sehingga semalam mengalami penurunan bekalan air terawat sebanyak 13.9 peratus, iaitu hanya 550 juta liter bekalan berbanding 639 juta liter sehari yang menyebabkan gangguan bekalan air tersebut.

Adly berkata Empangan Jus di Jasin yang mempunyai kapasiti 45,000 juta liter air mempunyai kapasiti semasa sebanyak 19,165 juta liter hari ini, Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah (32,600 juta liter/6,470 juta liter) dan Empangan Asahan di Jasin (700 juta liter/215 juta liter).

Beliau berkata selain empangan dan kolam takungan, kerajaan negeri juga sedang melihat air bawah tanah sebagai sumber bekalan air alternatif baharu dengan jangkaan kepuyaan bekalan antara satu hingga tiga juta liter sehari.

"Projek mengorek telaga di Loji Air Gadek dan Loji Air Merlimau serta mengenal pasti lokasi-lokasi lain yang berpotensi perlu disegerakan dan usaha mengenal pasti kolam-kolam terbiar yang berpotensi untuk dipam keluar ke Sungai Melaka dan Sungai Kesang perlu dilaksana serta-merta," katanya.

Ditanya tentang dakwaan yang tular di media sosial yang mendakwa kononnya negeri ini akan diistihar darurat Jumaat ini kerana masalah gangguan bekalan air, Adly menafikan perkara itu dan menegaskan kerajaan negeri berusaha sedaya upaya memberikan bekalan air kepada penduduk terjejas.

BERNAMA