Masyarakat diingat jangan mudah tular isu boleh gugat perpaduan


Masyarakat diingatkan supaya tidak mudah menularkan perkara yang menyentuh sensitiviti sesuatu kaum dan agama kerana ia boleh mengugat perpaduan yang telah dikecapi negara selama ini.

Pengarah Jabatan Penerangan (Japen) Kelantan Lim Ann Teck berkata kini banyak maklumat yang tidak benar disebarkan melalui laman media sosial yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada perpaduan kaum.

“Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita perlu menapis terlebih dahulu maklumat yang diterima. Kalau maklumat itu boleh mendatangkan kemudaratan, terus padam.... bila sebar ia boleh merebak,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Program Merdeka @ Komuniti Daerah Kota Bharu 2019 yang turut dihadiri Pegawai Penerangan Daerah Kota Bharu Azmee Mohamed Noor di sini, hari ini.

Mengulas mengenai program itu, Lim berkata, Program Merdeka @ Komuniti adalah salah satu acara tahunan jabatannya untuk meningkatkan kesedaran kepada rakyat betapa pentingnya untuk mengekalkan kemerdekaan.

“Selain menyebarkan semangat patriotisme kepada masyarakat setempat, program juga diisi dengan kembara kayuhan berbasikal bermula di Pasar Besar Siti Khadijah dan berakhir di Min House Camp, Kubang Kerian di sini.

“Sepanjang kayuhan kembara itu, kita berhenti di lima hentian utama di sekitar bandar ini untuk menyampaikan maklumat umum kepada masyarakat mengenai insentif yang disediakan oleh kerajaan melalui agensi-agensi yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata antara agensi yang terlibat dengan program itu termasuklah Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Skim Perlindungan Kesihatan Nasional (MySalam) .

BERNAMA