Malaysia tidak terancam dengan kehadiran tentera China, AS di rantau ini


Malaysia tidak berasa terancam terhadap rancangan Amerika Syarikat (AS) menempatkan peluru berpandu di rantau Asia Pasifik atau dengan kehadiran tentera China di situ, tetapi bimbang mengenai potensi berlaku insiden tidak diingini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika diwawancara agensi berita Sputnik.

Pada Ogos lalu, Setiausaha Pertahanan AS, Mark Esper, berkata beliau berhasrat menempatkan peluru berpandu jarak sederhana di Asia tetapi menegaskan, ia mungkin mengambil masa lama.

"Saya tidak fikir sebarang tawaran rasmi mengenainya dibuat tetapi ia suatu yang kita dapat daripada berita. Dan kami fikir, jika kami perlu berbelanja untuk pertahanan, ia mesti suatu yang benar-benar bermanfaat dalam usaha mengekalkan keselamatan kami.

"Buat masa ini, Malaysia tidak berasa tarancam. Ya memang ada kapal perang China di Laut China Selatan dan Amerika juga datang ke sana tetapi kami tidak melihat ia sebagai ancaman langsung terhadap Malaysia," kata Perdana Menteri.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan penghantaran peluru berpandu AS dan kesannya terhadap situasi di rantau berkenaan.

"Bagaimanapun, kemungkinan berlakunya insiden menjadi kebimbangan kita. Jika berlaku insiden lalu mencetuskan pertempuran, kita tidak akan terbabit. Kita tidak akan berpihak kepada sesiapa," katanya.

Perdana Menteri kini berada di Vladivostok, Rusia sempena Forum Ekonomi Timur yang akan berlangsung sehingga Jumaat.

Agensi Maklumat Antarabangsa Rossiya Segodnya menjadi media rasmi bersama untuk acara itu.

BERNAMA