Lelaki simbah cat di masjid dan surau ditahan


Polis berjaya menyelesaikan dua kes menyimbah cat berwarna merah ke atas sebuah masjid pada Januari lalu dan sebuah surau di Taman Daya di sini semalam dengan tertangkapnya seorang lelaki berusia 30-an di sebuah kawasan perumahan di taman tersebut, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Shahurinain Jais berkata, polis menahan lelaki tempatan itu pada jam 3.17 pagi serta merampas sebuah kereta jenis Honda Accord berwarna hitam dan sehelai baju-T berwarna merah kelabu yang digunakan oleh suspek semasa melakukan jenayah terbabit.

“Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai satu kes yang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

"Dia juga mempunyai rekod sebagai pesakit psikiatri di Hospital Permai serta positif dadah jenis methaphetamine berdasarkan  ujian saringan air kencing yang dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Shahurinain berkata dengan penangkapan itu, polis telah berjaya menyelesaikan dua kes melibatkan Masjid As Sobirin pada 1 Jan lalu dan Surau Al Hidayah, semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana khianat tempat ibadat yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

BERNAMA