Fenomena air pasang besar di Selangor hari ini terkawal


Fenomena air laut pasang besar yang melanda pesisir pantai Selangor hari ini dilaporkan terkawal dan tiada sebarang limpahan air berlaku.

Tinjauan Bernama di jeti nelayan Telok Gong, Pelabuhan Klang dekat sini kira-kira pukul 8 pagi tadi mendapati keadaan laut di sekitarnya agak tenang dengan cuaca yang cerah serta tiada limpahan air laut berlaku.

Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor ketika dihubungi memberitahu keadaan ban di kawasan pesisir pantai di lima daerah yang dikenal pasti berisiko juga adalah kukuh dan baik.

Lima daerah tersebut iaitu Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam diletakkan dalam persediaan peringkat tinggi bagi menghadapi fenomena air pasang besar kerana berisiko dilanda banjir sekiranya berlaku angin kencang dan hujan lebat.

Unit berkenaan sebelum ini memaklumkan, fenomena air laut pasang besar diramal berlaku pada semalam dan hari ini, 29 Sept sehingga 2 Okt, dan 27 sehingga 30 Okt di pesisiran pantai Selangor, dengan ketinggian paras air laut dijangka mencecah 5.7 meter.

Sehubungan itu, pelbagai agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan di negeri ini turut diarah berjaga-jaga bagi menghadapi fenomena air pasang besar berkenaan.

BERNAMA