Dua sekolah diberi peringatan kerana larangan doa, guna bahasa Cina di PSV - KP Pelajaran


Dua buah sekolah yang terpalit dengan isu larangan bacaan doa dan menggunakan bahasa Cina sepenuhnya ketika kursus Pendidikan Seni Visual (PSV) telah diberikan peringatan tegas kerana melanggar Peraturan-Peraturan Pendidikan.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin berkata pihaknya mengambil maklum kedua-dua isu yang tular di media sosial itu dan sedang mempertimbang mengambil tindakan tatatertib jika perlu.

Beliau berkata semua pentadbir sekolah perlu mematuhi Akta Pendidikan dan surat-surat siaran yang diedarkan kepada mereka antaranya surat siaran KPM Bilangan 13 Tahun 2016 - Perkara 5.11 dalam Garis Panduan Pengurusan Majlis/Program/Acara dan Pengurangan Amalan Protokol dan Sambutan di Bahagian/Jabatan Institusi Pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Selain itu, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 yang menetapkan mata pelajaran Pendidikan Seni adalah dalam bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu bagi mematuhi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada isu larangan bacaan doa sempena majlis Hari Kecemerlangan Pelajar Tahun 2019 Sekolah Kebangsaan Methodist di Pulau Pinang dan penceramah menyampaikan kursus PSV dalam bahasa Cina sepenuhnya di salah sebuah sekolah di Perak, semalam.

Amin berkata peringatan sama juga telah diberikan kepada semua sekolah agar mematuhi semua Akta Pendidikan dan surat-surat siaran yang diedarkan.

Beliau berkata ketidakakuran kepada peraturan-peraturan itu boleh membawa kepada tindakan tatatertib atau tindakan lain yang sesuai kepada pihak pentadbir sekolah yang terlibat.

KPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan-peraturan yang telah disediakan untuk rujukan semua, katanya.

BERNAMA