Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda


Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan menyifatkan Allahyarham Datuk Dr. Md Farid Md Rafik, yang meninggal, awal pagi ini, sebagai pemimpin yang bukan sahaja bersemangat tinggi untuk membantu rakyat malah komited untuk membawa idea-idea pembaharuan dalam kerajaan.

Ini terbukti apabila pada peringkat awal pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lepas, Allahyarham telah beberapa kali mengadakan ceramah “bervisi” bersama Aminolhuda sendiri di kawasan Pontian khususnya Tanjung Piai.

“Waktu itu, beliau sentiasa memberi idea-idea dan ucapan-ucapan yang menunjukkan beliau mempunyai idealisme yang baik untuk rakyat dan masa depan negara,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Pontian hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) yang merupakan Ahli Parlimen Tanjung Piai itu dilaporkan meninggal dunia sekitar pukul 6.00 pagi tadi di Hospital Pontian, dipercayai akibat serangan jantung.

Allahyarham Md Farid, 42, anak jati Mukim Serkat itu meninggalkan seorang isteri Datin Farah Syazwani Hanis Ismail dan tiga anak perempuan.

Arwah merupakan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai dan memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tahun lalu, selepas menewaskan penyandangnya Datuk Seri Wee Jeck Seng (MCA) dengan memperolehi 21,255 undi.

Dari segi tanggungjawab sebagai timbalan menteri khusus mengenai pembangunan, Aminolhuda berkata beliau difahamkan arwah juga banyak membantu permohonan untuk pembangunan sesebuah desa dan juga keperluan di peringkat jabatan-jabatan kerajaan yang memerlukan.         

“Jadi, kita kehilangan seorang yang polite (sopan santun) orangnya, menghormati orang tua dan mempunyai jiwa merendah diri. Beliau bukan orang yang meninggi diri walaupun ketika itu, merupakan seorang doktor pakar,” tambahnya.

Aminolhuda yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor hadir di situ untuk memberikan sokongan moral kepada ahli keluarga dan saudara terdekat Allahyarham yang menunggu proses bedah siasat jenazah.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian menyifatkan Allahyarham  seorang pemimpin muda yang boleh meneruskan kesinambungan perjuangan parti untuk tempoh yang lama.     
“Dia (Md Farid) adalah pelapis untuk parti di masa akan datang. Semasa saya memangku Pengerusi Bersatu Johor dan Setiausaha Pakatan Harapan, Allahyarham adalah seorang yang berdedikasi tinggi, komited dan kerja kuat,” katanya dan menambah arwah juga sering menjadikan beliau dan ahli-ahli parti yang lebih “senior” sebagai tempat rujukan.

BERNAMA