Dr Mahathir tiba di Phnom Penh untuk lawatan rasmi tiga hari


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini tiba di Phnom Penh untuk memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Kemboja.

Pesawat khas yang membawa Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh pada 9.35 pagi waktu tempatan (Kemboja lewat sejam dari waktu Malaysia).

Ketibaan beliau disambut Menteri Kanan Kemboja yang bertanggungjawab dalam Misi Khas, Datuk Dr Othsman Hassan. Turut hadir Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Eldeen Husaini Mohd Hashim.

Lawatan rasmi tiga hari ini selepas 25 tahun itu atas jemputan rakan sejawatan Dr Mahathir dari Kemboja, Hun Sen.

Program Dr Mahathir bermula satu jam selepas ketibaannya, yang beliau dijangka menghadiri sesi dialog bertajuk, Balancing Relations with the Superpowers in the Context of ASEAN dihadiri kira-kira 1,000 pelajar dan jemputan khas di Royal University of Phnom Penh (RUPP).

Perdana Menteri juga dijadual bertemu masyarakat Islam dan menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di sini sebelum menamatkan hari pertama lawatannya hari ini.

Esok, Dr Mahathir mempunyai jadual padat, yang beliau dijangka menghadiri upacara meletakkan kalungan bunga di Tugu Kemerdekaan Kemboja sebelum menghadiri upacara sambutan rasmi di Peace Palace.

Selepas itu, Dr Mahathir akan mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatannya, Hun Sen dan kedua-dua pemimpin dijangka akan membincangkan isu-isu berkaitan perdagangan dan pelaburan, kerjasama dalam bidang pertanian, pertahanan dan pembangunan industri halal.

Kedua-dua perdana menteri itu juga akan menyaksikan pemeteraian Perjanjian Pengecualian Cukai Berganda (DTA) dan memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama pelancongan. Kedua-dua pemimpin juga dijangka mengeluarkan kenyataan bersama pada akhir mesyuarat.

Pada hari yang sama, Dr Mahathir akan membuat kunjungan hormat ke atas Pemangku Ketua Negara dan Presiden Kemboja, Samdech Vibol Sena Pheakdey Say Chhum dan menghadiri dialog bersama ahli perniagaan dan pelabur Malaysia, membabitkan 28 syarikat Malaysia yang beroperasi di Kemboja.

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah akan menghadiri majlis makan malam rasmi yang dihoskan Hun Sen.

Sementara itu, Dr Siti Hasmah mempunyai program berasingan  termasuk melawat Palang Merah Kemboja dan menghadiri majlis makan tengah hari dengan Persatuan Wanita Kedutaan Malaysia di Kemboja.

BERNAMA