DAP sanggup jadi tuan rumah persidangan memerangi berita palsu


DAP sanggup menjadi tuan rumah persidangan meja bulat bagi memerangi berita palsu dan ucapan kebencian jika pihak  pembangkang berminat untuk hadir, kata penasihat DAP Lim Kit Siang.

Jemputan itu diumumkan oleh Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam ucapannya dalam satu majlis di Sibu Sarawak malam tadi.

“Saya ingin lontarkan cabaran kepada semua parti politik sama ada dalam kerajaan mahukan swasta, di peringkat negeri dan pusat untuk bersatu menentang berita palsu dan ucapan kebencian. Adakah parti pembangkang bersedia menghadiri persidangan meja bulat memerangi berita palsu dan ucapan kebencian, dan jika mahu DAP bersedia menjadi hos persidangan meja bulat itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata baru-baru ini negara di banjiri dengan berita palsu dan ucapan kebencian yang diedarkan bagi menghasut polarisasi antara kaum dan agama, terutama  dalam media sosial yang mana ia boleh menjadi ancaman terbesar kepada Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang bersatu, berjaya dan kelas tertinggi di dunia.

"Bahkan pada Hari Malaysia, ketika  kita harus menggalakkan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama agar bersatu sebagai satu bangsa, terdapat parti politik dan pemimpin politik yang mengambil  kesempatan untuk menyebarkan berita palsu dan ucapan kebencian bagi memecah-belah perpaduan  rakyat Malaysia, "katanya.

Beliau berkata ketika DAP berada dalam pembangkang di peringkat persekutuan selama 52 tahun dahulu memberi reaksi positif terhadap sebarang cadangan oleh mana-mana parti kerajaan untuk bersatu dan mengambil sikap tegas menentang berita palsu dan ucapan kebencian tanpa sebarang keraguan.

BERNAMA